Selangor benar solat Jumaat dengan kapasiti 100 jemaah

Jemaah yang bergejala tidak dibenarkan hadir selain tidak boleh berasak-asak sewaktu berada di masjid, surau atau musolla. (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
Jemaah yang bergejala tidak dibenarkan hadir selain tidak boleh berasak-asak sewaktu berada di masjid, surau atau musolla. (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 100 orang jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan 50 jemaah bagi solat fardu lima waktu di seluruh masjid Selangor berkuatkuasa pada Jumaat.

Selain itu, bagi surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga menetapkan seramai 50 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardhu lima waktu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kehadiran jumlah jemaah di surau dan musolla pula ditetapkan seramai 50 orang individu termasuk pentadbir bagi menunaikan solat lima waktu selepas ini.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor telah menggerakkan langkah-langkah pencegahan yang agresif bagi mengekang wabak Covid-19 ini.

"Ini dapat dilihat dalam proses vaksinasi di mana telah mencapai 69 peratus daripada jumlah keseluruhan yang berdaftar dengan MySejahtera dan telah mengurangkan kadar kemasukan ke hospital," katanya menerusi kemaskini di laman Facebook, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, jemaah yang ingin menunaikan solat di masjid dan surau negeri ini seharusnya lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan terdiri daripada ahli kariah yang tinggal dalam kawasan terlibat.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu melaksanakan kaedah penggiliran bagi solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat jika bilangan kehadiran jemaah yang menerima dua dos vaksin melebihi kapasiti ditetapkan.

"Pentadbir masjid, surau dan musolla dikehendaki memastikan jemaah yang hadir mematuhi kawalan kendiri dengan memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan berwuduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, jemaah yang bergejala tidak dibenarkan hadir selain tidak boleh berasak-asak sewaktu berada di masjid, surau atau musolla," katanya.

Mohd Zawawi berkata, semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau juga boleh diteruskan secara dalam talian sebagai ikhtiar bagi memohon bantuan ALLAH SWT.

Tambah beliau, pengurusan jenazah bukan Covid-19 juga dibenarkan di masjid dan surau negeri ini dengan kehadiran kaum kerabat waris seramai 20 orang dan enam orang pihak jawatankuasa masjid atau surau.

"Selain itu, ruang solat untuk musafir, pemandu e-hailing dan khidmat penghantar makanan hendaklah terus disediakan oleh pihak masjid atau surau," katanya.