PTPTN tampil dengan produk baharu Simpan SSPN Plus

Majlis Pelancaran Simpan SSPN Plus yang berlangsung secara maya pada Jumaat.
Majlis Pelancaran Simpan SSPN Plus yang berlangsung secara maya pada Jumaat.
A
A
A
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan produk Simpan SSPN Plus menerusi kerjasama strategik bersama tiga syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

Pelbagai keistimewaan dan manfaat bakal dinikmati pendeposit, antaranya ialah perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, penyakit terminal sehingga RM200,000, manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000, rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000 dan perlindungan sehingga pendeposit berusia 69 tahun.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, SSPN Plus merupakan kesinambungan SSPN-i Plus yang ditambah baik dan berwajah baharu.

“Simpan SSPN Plus merupakan produk yang sangat kompetitif dan unik apabila simpanan pendidikan digabungkan bersama manfaat perlindungan takaful yang sememangnya terbaik antara pelan simpanan pendidikan lain di pasaran.

“Ia juga menawarkan enam pakej menarik yang mampu dimiliki setiap isi rumah dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Dasuki berkata, SSPN Plus mengekalkan pelbagai keistimewaan sedia ada kepada para pendeposit seperti dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, simpanan patuh syariah dan dijamin kerajaan.

Jelas beliau, lebih 690,000 akaun SSPN-i Plus sedia ada juga akan menikmati manfaat lebih menarik bersama produk baharu Simpan SSPN Plus.

Menurutnya, produk SSPN-i turut diberi sentuhan wajah baharu dari segi logo dan nama produk kepada Simpan SSPN Prime dengan mengekalkan keistimewaan dan manfaat sedia ada.

“Pemerkasaan imej baharu produk simpanan PTPTN ini akan menjadikan produk SSPN-i Plus dikenali sebagai Simpan SSPN Plus, manakala SSPN-i akan dikenali sebagai Simpan SSPN Prime.
Artikel Berkaitan:


“Nama baharu ini mampu menjadikan SSPN sebagai pilihan utama penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi di samping membina kepercayaan dan jenama yang kukuh,” ujarnya.

Kata Ahmad Dasuki, pelancaran produk baharu itu selari dengan pelan strategik PTPTN untuk menguruskan dana simpanan secara efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik.

“Pelancaran produk Simpan SSPN Plus ini adalah landasan terbaik kepada masyarakat untuk terus menabung bagi tujuan pendidikan tinggi di samping menikmati lebih banyak keistimewaan dan manfaat disediakan.

“Ibu bapa adalah tunjang utama dalam merealisasikan cita-cita anak-anak dan PTPTN terus membantu merealisasikan peluang kejayaan anda,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN tampil dengan Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM320,000 kepada 221 pemenang.

Menurutnya, hadiah utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus berupa jongkong emas bernilai RM150,000, selain kereta Perodua Bezza 1.3AV kepada dua pemenang (hadiah kedua), perkakas dapur canggih iaitu thermomix kepada tiga pemenang (hadiah ketiga) dan wang tunai bernilai RM221 kepada 215 pemenang (hadiah sagu hati).

“Tempoh promosi bermula 1 September sehingga 31 Disember 2021,” kata beliau.