Warga Myanmar dijel guna identiti orang lain dapatkan vaksin

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat selepas mengaku bersalah menggunakan identiti individu lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat selepas mengaku bersalah menggunakan identiti individu lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita warga Myanmar dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah menggunakan identiti individu lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, That That Mar, 27, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

Tindakan itu dilakukan pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu di klinik swasta di Taman Cheng Perdana.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Tertuduh yang telah empat tahun menetap di negara ini didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2000).

Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan maksima enam sebatan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kes dilakukan tertuduh adalah serius.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu.