'Terkilan tak dapat vaksin awal, ahli keluarga pergi akibat Covid-19'

Farah Adilah Shamsudin
Farah Adilah Shamsudin
A
A
A

SHAH ALAM - "Kalaulah ahli keluarga saya dapat vaksin lebih awal, pasti mereka dapat diselamatkan," luah bekas pesakit Covid-19, Farah Adilah Shamsudin.

Menurut Farah Adilah, dia masih rasa terkilan sehingga kini apabila mengenangkan enam orang ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 manakala 13 ahli keluarga lain turut disahkan positif.

“Tetapi sudah takdir mereka Covid-19 datang sebelum vaksin. Dapat panggilan janji temu pun masa mereka sudah jalani proses intubasi di Hospital Sungai Buloh.

“Memang tak sempat mereka nak ambil (vaksin),” katanya ketika menjadi tetamu Wacana Sinar edisi ke-286 bertajuk 'Adakah Vaksin Covid-19 Benar Berkesan?' yang disiarkan secara langsung pada Khamis.

Wacana Sinar edisi ke-286 bertajuk 'Adakah Vaksin Covid-19 Benar Berkesan?' yang disiarkan secara langsung pada Khamis.
Wacana Sinar edisi ke-286 bertajuk 'Adakah Vaksin Covid-19 Benar Berkesan?' yang disiarkan secara langsung pada Khamis.

Turut serta pada program itu ialah Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Penyelidik dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badrulhisam Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Farah Adilah berkata, yakin pengambilan vaksin dapat mengurangkan komplikasi akibat dijangkiti wabak Covid-19.

Katanya, vaksin juga dapat menyelamatkan dan melindungi bukan sahaja diri sendiri, malah orang di sekeliling.

“Vaksin ini penting. Macam keluarga saya sendiri, yang sudah pergi menanti vaksin tetapi cuma mereka tidak sempat. Suami saya sudah disuntik vaksin dan kurang mengalami simptom.

“Kita yang boleh ambil vaksin ini, ambilah. Ini untuk melindungi mereka (keluarga) yang tidak dapat vaksin lagi bagi mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.

Tambahnya, kesan sampingan vaksin hanya sedikit berbanding risiko simptom lebih serius jika tidak mengambilnya.

“Ia juga merupakan ikhtiar dan langkah yang harus diambil untuk melawan Covid-19 ini,” katanya.