X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

20 program impak tinggi KSM dalam tempoh 100 hari

Saravanan (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Philomena ketika hadir sampaikan faedah Perkeso kepada waris pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas terlantar akibat diserang seorang lelaki seperti tular sebelum ini di Taman Buntong Ria, Ipoh pada Jumaat.
A
A

IPOH - Kementerian Sumber Manusia telah mengenal pasti 20 program berimpak tinggi yang akan dilaksanakan dalam 100 hari seperti yang diinginkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, salah satu daripada program berkenaan ialah program khas caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk suri rumah.

Menurutnya, program tersebut dijangka dilaksanakan bermula Januari 2022 melibatkan golongan suri rumah B40 yang berdaftar di dalam e-Kasih dengan jumlah caruman RM120 setahun.

"Dalam keadaan ekonomi tak menentu, apabila suami tidak bekerja, isteri hadapi penyakit kronik, mereka tidak mampu beri perubatan sewajarnya, maka ini masanya untuk memberi jaringan keselamatan kepada kaum wanita khususnya suri rumah.

"Bagi golongan bukan B40, mereka juga boleh mencarum sebanyak RM120 setahun bererti suami bayar setiap bulan RM10 untuk isteri. Kalau suami tak nak bayar, ada sesuatu yang tak kena," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada waris pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas terlantar akibat diserang seorang lelaki seperti tular sebelum ini di Taman Buntong Ria, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, pihak Perkeso telah mengatur program kepada golongan suri rumah yang didaftar di bawah e-Kasih seramai 150,000 orang untuk menerima jaringan keselamatan tersebut.

Sementara itu, beliau memberi amaran dan nasihat kepada majikan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kelembapan ekonomi untuk mengabaikan tanggungjawab membayar caruman Perkeso pekerja.

Menurutnya, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan menganiaya pekerja yang sepatutnya menerima faedah daripada caruman tersebut jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Saya lihat terlalu ramai majikan gagal mencarum dan saya minta penguat kuasa Perkeso untuk jalankan pemeriksaan tempat-tempat kerja yang akan turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Kita mahu memastikan nasib warga kerja dibela. Saya faham kita tidak boleh lari daripada kelembapan ekonomi dan sebagainya tetapi apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, ia akan menjadi isu besar," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan akan mengadakan pertemuan dengan persatuan syarikat pengawal keselamatan untuk berbincang mengenai perkara tersebut memandangkan kebanyakan syarikat pengawal keselamatan ini tidak mencarum Perkeso.

Katanya, faedah Perkeso yang diterima waris S Thava Sagayam merupakan hasil caruman majikan terdahulu memandangkan majikan baharu tidak mencarum Perkeso.

Menurutnya, tiga faedah diterima balu mendiang, E Philomena, 59, iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Orang Tanggungan dan Faerah Pengurusan Mayat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!