Pulau Pinang hampir capai 60 peratus vaksinasi lengkap

Kon Yeow (tiga dari kanan) meninjau penerimaan sebahagian daripada 200,000 dos vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Bayan Baru pada Jumaat.
Kon Yeow (tiga dari kanan) meninjau penerimaan sebahagian daripada 200,000 dos vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Bayan Baru pada Jumaat.
A
A
A

BAYAN BARU - Pulau Pinang dijangka mencapai 60 peratus kadar pemberian vaksin Covid-19 lengkap dua dos bagi populasi dewasa dalam tempoh dua hari lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan perkembangan itu, kerajaan negeri berharap dapat memenuhi sasaran 100 peratus populasi dewasa sekurang-kurangnya menerima suntikan vaksin dos pertama.

"Kita berharap agar sasaran 100 peratus bagi dos pertama akan dapat dicapai, sementara sasaran 80 peratus lengkap menerima dos kedua pada bulan ini.

"Ia bagi mencapai matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk Pulau Pinang. Ini adalah usaha bersama kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan beberapa pihak lain," katanya selepas meninjau penerimaan sebahagian daripada keseluruhan 200,000 dos vaksin yang diluluskan KKM kepada Pulau Pinang di Klinik Kesihatan Bayan Baru di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, penghantaran pertama sebanyak 43,120 dos vaksin melibatkan penghantaran ke lima daerah di negeri ini.

"Rakyat memerlukan vaksinasi lengkap secepat mungkin kerana ini adalah perlindungan terbaik.

"Saya berharap dengan bekalan vaksin tambahan yang diterima ini, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang dapat beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.

Bekalan vaksin yang diterima pada Jumaat akan diagihkan kepada 17 stor simpanan vaksin termasuk 3,200 dos diserahkan kepada Klinik Kesihatan Bayan Bar.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa lalu, kerajaan negeri Selangor menerusi Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan sebanyak 20,000 dos vaksin secara percuma kepada Kon Yeow di Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (SP Arena), Seberang Jaya.

Pemberian sumbangan itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kapasiti bagi menampung kekurangan bekalan vaksin.

Sehingga Isnin lalu, seramai 1.14 juta atau 64.4 peratus penduduk Pulau Pinang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan, sementara 55.7 peratus daripada populasi dewasa sudah lengkap menerima vaksin.