Datuk ditahan, dadah bernilai RM14.4 juta dirampas

Abdul Latif (depan, dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban pada Jumaat.
Abdul Latif (depan, dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM14.4 juta dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat telah menyita dua kotak kayu di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada jam 4.10 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas kotak kayu tersebut menjumpai lapan buah kotak yang terdapat 400 bungkusan teh mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 400kg bernilai RM14.4 juta.

"Tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 56 tahun termasuk seorang berpangkat Datuk telah ditahan di lokasi sama untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket ini mengisytiharkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli hotel di dalam dua kotak kayu yang besar sedangkan di dalamnya terdapat kotak-kotak mengandungi dadah yang disorokkan bersama pakaian sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Abdul Latif (depan, dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban pada Jumaat.
Abdul Latif (depan, dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum dieksport ke negara Asia Pasifik.

"Sindiket ini dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama sejak tahun lepas.

"Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 13 September ini," katanya.

Katanya, JKDM berharap orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau buat laporan di pejabat kastam berdekatan di semua negeri.

"Kami juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Sinar Harian difahamkan berdasarkan siasatan awal suspek bergelar Datuk berusia 48 tahun itu dipercayai merupakan seorang ahli perniagaan.