JAIS keluar arahan guru KAFA, pegawai masjid perlu ambil vaksin

MOHD SHAHZIHAN AHMAD
MOHD SHAHZIHAN AHMAD
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengeluarkan satu arahan rasmi secara bersurat kepada setiap guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS akan menggunakan fungsinya yang perlu bagi memastikan setiap individu terlibat mengambil suntikan vaksin berkenaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terjamin.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS akan menguruskan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi melaksanakan program vaksinasi khas untuk membolehkan pihak terlibat mendapat suntikan vaksin Covid-19.

"JAIS berharap agar semua pihak terlibat hadir pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Khamis di mana individu terlibat yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 berkemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas selepas ini.

Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat dalam kalangan golongan itu yang memilih untuk tidak mahu divaksin kerana tindakan tersebut membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Baginda bertitah, JKNS diharapkan dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap golongan berkenaan kerana bimbang boleh memudaratkan pelajar.

Artikel Berkaitan: