'Angin tolak badan saya' - Suresh

 S. Suresh
S. Suresh
A
A
A

TOKYO - [DIKEMASKINI] Jaguh memanah kebangsaan, S. Suresh sama sekali tidak menduga hujan serta angin kuat ketika beraksi di pusingan pertama acara recurve lelaki terbuka memadam api perjuangannya di Sukan Paralimpik Tokyo.

Juara memanah dunia 2019 itu mengakui dua faktor berkenaan merupakan punca beliau terlepas peluang untuk menghadiahkan pingat buat negara selepas ditunjuk jalan keluar lebih awal hari ini.

Suresh, yang membuat penampilan pertamanya di pentas Paralimpik, tumpas 2-6 kepada pemanah Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, dalam saingan yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park itu.

“Saya tak sangka hujan dan angin kuat ketika bermain tadi sehinggakan angin pun tolak badan saya, seterusnya menjadikan anak panah menjadi berat lalu menyebabkan panahan tersasar.

“Keadaan ketika latihan sebelum beraksi tadi juga berbeza kerana tiada angin dan saya dapat buat panahan tepat namun lain jadinya di gelanggang, memang bukan rezeki saya kali ini,” kata atlet dengan berat badan 53 kilogram itu kepada Bernama ketika ditemui selepas beraksi.

Menurutnya, kekurangan aksi kompetitif di peringkat antarabangsa sejak 2019 gara-gara pandemik Covid-19 juga menjejaskan persembahannya kali ini.

Suresh berkata, kebanyakan pemanah lain mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa walaupun dengan situasi pandemik yang masih melanda dunia ketika ini dan keadaan itu menyebabkan mereka mempunyai kelebihan ketika bertanding di Tokyo.

Bagaimanapun, bapa kepada seorang anak lelaki itu menerima keputusan dicapai di Jepun itu dengan positif walaupun telah mengecewakan harapan keluarga dan rakyat Malaysia yang mahu melihatnya menyinar di Sukan Paralimpik.

Artikel Berkaitan:

“Saya perlu positif dan tidak perlu salahkan diri sendiri. Mujur, isteri saya pernah berpesan walau apa pun terjadi, you telah buat yang terbaik dan perlu kekal positif tidak kira menang atau kalah,” katanya.

Suresh, yang kehilangan kaki kirinya pada usia 13 tahun selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya itu berkata pengalaman ditimbanya di Tokyo akan digunakan sebaik mungkin untuk mencuba memberi saingan lebih hebat mencabar kedudukan podium di Paris 2024 nanti.

Namun, atlet berusia 28 tahun dari Kedah itu tekad untuk bangkit dengan segera pada pertandingan tahun depan termasuk mengumpul mata sebanyak mungkin di kejohanan dunia bagi mencerahkan peluangnya layak ke Paris 2024.

“Saya akan kembali dengan lebih hebat, saya nak buktikan sesuatu kepada orang yang pandang rendah kepada saya, tunggu dan lihat,” katanya.

Berikutan prestasi kurang baik ditonjolkannya di Sukan Paralimpik, Suresh berazam untuk memperbaiki teknik latihannya selain membiasakan diri berlatih dalam cuaca hujan serta keadaan angin yang kuat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan berehat sementara sehingga hujung tahun ini bagi mengambil peluang untuk melepaskan rindu berjumpa keluarganya di Kedah selepas kali terakhir menjenguk mereka empat bulan lepas.

“Saya memang nak jumpa keluarga, isteri juga beritahu anak kurang sihat,” tambahnya.- Bernama