Akta Perkhidmatan Parlimen bakal diperkenal semula

A
A
A

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen bakal diperkenalkan semula bagi memberi kebebasan kepada Parlimen.

Ujar beliau, perkara tersebut dipersetujui Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam perbincangan bersama pada Khamis.

“Langkah ini selaras dengan apa yang telah diambil oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

“Ini berdasarkan Artikel 62 (Prosedur Parlimen) dan Artikel 63 (Hak Istimewa Parlimen) di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Wan Junaidi mengadakan pertemuan bersama Rais dan Azhar bagi membincangkan mengenai proses transformasi Parlimen.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, antara isu yang lain yang dibincangkan adalah mewujudkan Akta Parlimen baharu menggantikan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 (disemak semula 1988) dan pindaan terhadap peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Banyak negara Komanwel telah membuat pindaan yang diperlukan terhadap peraturan dan prosedur mereka di Parlimen agar ia sesuai dengan waktu sekarang.

“Dan dalam usaha kita untuk reformasi Parlimen, sangat penting bagi kita untuk membuat lebih banyak perubahan dan peningkatan terhadap peraturan yang mungkin tidak lagi sesuai dalam persekitaran hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya dengan senang hati memaklumkan bahawa mereka menerima cadangan itu secara positif dan sebenarnya bersedia untuk mengambil peranan utama dalam transformasi Parlimen kita,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan proses transformasi Parlimen.

“Sejajar dengan itu, kami juga telah bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementerian saya untuk memastikan bahawa pelbagai cadangan yang dibincangkan dapat dilaksana dengan cepat.

“Untuk tindakan selanjutnya, saya akan menyerahkan laporan mengenai perkara ini kepada kabinet untuk disahkan,” jelasnya.