Infrastruktur di Selangor sudah mencukupi, tak perlu lupus HSKLU

Shariffa Sabrina (empat dari kiri) menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil menteri besar berhubung bantahan penyahwartaan HSKLU di pintu hadapan Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.
Shariffa Sabrina (empat dari kiri) menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil menteri besar berhubung bantahan penyahwartaan HSKLU di pintu hadapan Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendesak kerajaan Selangor membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) susulan infrastruktur di negeri ini sudah mencukupi.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan negeri sewajarnya memelihara lebih banyak hutan simpan atau mewujudkan taman-taman yang terdiri daripada kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri maju, Selangor perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pemeliharaan kawasan hutan simpan yang menjadi sumber bagi penyerapan air hujan.

"Kami juga dah nyatakan sewaktu sesi townhall sebelum ini bahawa kita tidak mahukan apa-apa kemusnahan berlaku di kawasan HSKLU.

"Negeri Selangor kalau ada sahaja hutan, semua nak bangunkan dan kita kena faham betapa pentingnya hutan-hutan ini untuk dipelihara," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan Selangor di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaaan (SUK) Selangor pada Jumaat.

Selain Peka, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Otai Reformis, Pertubuhan Gerak98 dan beberapa lagi NGO turut hadir bagi menyerahkan memorandum bantahan berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini agar dapat merujuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan beliau telah memberi maklumat palsu kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Menteri Besar memberi jaminan yang salah sebelum ini di mana beliau memaklumkan bahawa penyahwartaan berkenaan akan ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuba nyatakan yang ia adalah pembohongan kerana pada 12 Ogos 2021, telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Selangor bahawa tanah itu sudah dilucutkan hak status sebagai hutan simpan," katanya.

Tambah Abdul Razak, pihaknya juga merasa curiga dengan keputusan kerajaan Selangor yang bersetuju memberikan tanah berkenaan kepada sebuah syarikat yang didaftarkan pada 2 November tahun lalu.

"Oleh itu, kami juga akan membuat laporan polis kerana kami merasakan ada unsur rasuah dalam isu ini," katanya.

Isu penyahwartaan HSKLU bukan merupakan perkara baharu malah ia pernah dibangkitkan pada sesi Sidang DUN Selangor November tahun lalu di mana satu usul telah dikemukakan bagi membatalkan rancangan penyahwartaan berkenaan.

Usul yang dibawa ketika itu juga turut mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Selangor yang menyokong untuk melindungi HSKLU dan membatalkan rancangan penyahwartaan berkenaan.

Begitupun, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian sewaktu sesi penggulungan pada Sidang DUN negeri baru-baru ini telah memberitahu dewan bahawa kerajan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan kawasan hutan simpan itu sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.

Isu ini turut mendapat perhatian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Amirudin memberikan penjelasan kepada parti berhubung keputusan penyahwartaan berkenaan menerusi pertemuan pada Rabu.

Selepas pertemuan itu, Amirudin turut memberi jaminan akan menangguhkan terlebih dahulu proses penyahwartaan berkenaan sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan semua isu berbangkit.