63 kampung di Beaufort, Sipitang terjejas banjir

Keadaan laluan Kampung Bangkalalak, Beaufort yang dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Keadaan laluan Kampung Bangkalalak, Beaufort yang dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 63 kampung di Beaufort dan Sipitang terjejas akibat banjir selepas dinaiki air susulan hujan berterusan sejak dua hari lalu.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah sebanyak 54 mangsa banjir di dua daerah itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Dun Banir dan Dewan Mini Mesapol.

"Sebanyak 60 kampung di Beaufort terjejas dan seramai 39 mangsa membabitkan 13 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Dun Banir.

"Di Sipitang pula terdapat tiga kampung terjejas membabitkan 15 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, seramai 19,780 penduduk membabitkan 3,995 ketua isi rumah yang terjejas di bawah DUN beliau.

"Setakat ini, kampung yang tidak boleh dilalui kenderaan dan penduduk terputus hubungan ialah Kampung Suasa, Kampung Lago, Kampung Bangkalalak, Kampung Kangsa, Kampung Kukup dan Kampung Jabang.

"Selain itu, Kampung Rumbai, Kampung Mintulud, Kampung Kabajang Ulu, Kampung Labi, Kampung Rompong Luagan Senginan, Kampung Tamalangalong Bukau, Kampung Limputung, Kampung Balibata dan Kampung Binunuk," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa kampung sekitar Beaufort mendapati hujan renyai masih berterusan sejak pagi Jumaat.

Artikel Berkaitan: