Pasar Awam Batu Lanchang ditutup lagi

Pasar Awam Batu Lanchang diarahkan tutup pada Jumaat selepas kali pertama diarahkan tutup pada 29 Julai lalu.
Pasar Awam Batu Lanchang diarahkan tutup pada Jumaat selepas kali pertama diarahkan tutup pada 29 Julai lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Selepas diarahkan tutup buat kali pertama pada 29 Julai lalu, kini Pasar Awam Batu Lanchang sekali lagi diarahkan tutup apabila beberapa peniaga dan pekerja mereka disahkan positif Covid-19.

Arahan penutupan terhadap 180 gerai itu berkuatkuasa pada jam 9.15 pagi Jumaat sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pasar awam yang baharu dibuka pada 18 Ogos lalu diarahkan tutup pada Julai susulan tujuh individu disahkan positif Covid-19.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan pasar tersebut bagi membolehkan kerja sanitasi, disinfeksi serta tindakan lain yang perlu dijalankan.

"Kita bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga akan melakukan penilaian Covid-19 di pasar tersebut.

"Orang ramai diingati selalu berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus Covid-19 terutamanya daalam kalangan komuniti.

"Persatuan pasar dan kompleks makanan juga dinasihati melaksanakan kawalan terhadap pengunjung dengan baik pada setiap masa," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa buah pasar awam di negeri ini diarahkan tutup selepas kes positif melibatkan peniaga dan pekerja pasar dikesan.

Artikel Berkaitan:

Antara pasar yang diarahkan tutup adalah Pasar Padang Tembak; Pasar Seberang Jaya; Pasar Awam Mak Mandin; Pasar Jalan Perak, Pasar Chai Leng Park dan Pasar Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, peniaga di Astaka Bukit Gedung di sini mengambil inisiatif untuk menutup sementara perniagaan mereka dalam usaha membendung rantaian Covid-19.

Sementara itu MBPP berkata, astaka itu menghentikan operasi perniagaan selama seminggu bermula Jumaat sehingga 9 September.

"Penutupan itu melibatkan 49 gerai yang aktif di astaka berkenaan. Orang ramai diminta untuk mengambil maklum berhubung penutupan tersebut.

"Individu yang berstatus 'berisiko tinggi' dalam aplikasi MySejahtera adalah dilarang untuk mengunjungi pasar atau kompleks makanan MBPP. Sebarang ketidakpatuhan akan diambil tindakan tegas," katanya.

Pulau Pinang mencatatkan angkat empat digit kes baharu Covid-19 sejak beberapa minggu lalu yang mana paling tinggi dicatatkan adalah pada 28 Ogos lalu dengan 2,078 kes.

Pada Khamis, Pulau Pinang mencatatkan 1,600 kes sekali gus membawa kes kumulatif bagi negeri ini adalah 89,853 kes.

Selain itu, Pulau Pinang turut mencatatkan 39 kematian pada Khamis dengan kumulatif kematian adalah 615.