Uniknya roti jala bendera Malaysia

Antara bungkusan roti jala bendera yang diedarkan kepada petugas PPV Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sempena sambutan Bulan Kebangsaan KKSP.
Antara bungkusan roti jala bendera yang diedarkan kepada petugas PPV Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sempena sambutan Bulan Kebangsaan KKSP.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) mengedarkan sebanyak 120 bungkus roti jala bendera Malaysia kepada petugas barisan hadapan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sempena sambutan Bulan Kebangsaan KKSP.

Pengarah KKSP, Ts. Khairul Anuar Ishak berkata, pemberian ini adalah untuk menghargai khidmat bakti, komitmen serta pengorbanan yang dicurahkan oleh semua petugas barisan hadapan dalam memastikan semua masyarakat di Sungai Petani menerima suntikan vaksin.

Katanya, ia adalah sambutan norma baharu yang dianjurkan kolej berkenaan selain beberapa program lain secara dalam talian.

"Jika dahulu mengadakan pelbagai program dengan penglibatan masyarakat, tetapi sekarang raikan petugas barisan hadapan untuk membuktikan pengorbanan mereka sentiasa diingati," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, sambutan Bulan Kebangsaan KKSP yang bermula pada 31 Ogos lalu akan diraikan sehingga 16 September iaitu pada Hari Malaysia.

Urusetia sambutan Bulan Kebangsaan KKSP mengedarkan roti jala kepada petugas di PPV Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sebagai tanda penghargaan.
Urusetia sambutan Bulan Kebangsaan KKSP mengedarkan roti jala kepada petugas di PPV Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sebagai tanda penghargaan.

"Dua tarikh ini sangat penting dan bersejarah buat kita semua. Sebagai sebuah agensi pendidikan kami tidak ketinggalan untuk meraikan sambutan ini dengan penglibatan pelajar.

"Walaupun terpaksa menyambutnya dalam keadaan norma baharu, tetapi ia dapat mengekalkan momentum suasana sambutan dan tradisi sebagai tanda syukur kepada perjuangan lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Khairul Anuar memaklumkan, untuk kemasukan pelajar sesi 1/2021-2022, pengambilan pelajar KKSP dibuka sehingga 20 Oktober depan dan program yang masih mempunyai kekosongan ialah Sijil Operasi Perhotelan dan Sijil Servis Kenderaan Ringan.