16 varian membimbangkan dikesan di Terengganu

Peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak telah membebankan sektor kesihatan negara.
Peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak telah membebankan sektor kesihatan negara.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 16 kes varian membimbangkan (VOC) membabitkan tujuh kes varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, empat kes VOC direkodkan di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (4), Marang (3), Kemaman (2) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.

"Kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.

"Tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu mencatatkan kes Covid-19 tertinggi pada Khamis dengan rekod baharu sebanyak 987 kes sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Katanya, peningkatan ketara itu melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu (266 kes), Besut (166), Marang (171) dan Kuala Nerus (100).

"Peningkatan mendadak itu disebabkan beberapa faktor antaranya saringan kontak rapat dan saringan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh daerah di Terengganu.

"Kami turut melakukan saringan kes-kes bergejala disebabkan penularan yang cepat dalam komuniti, saringan pekerja dari tapak binaan, aktiviti merentas negeri serta aktiviti perhimpunan.

Artikel Berkaitan:

"Saringan wajib juga dilakukan bagi kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT)," katanya.

Menurut Dr Kasemani, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu dalam tempoh dua minggu lagi susulan peningkatan aktiviti kawalan serta proses saringan yang dilakukan.

Justeru, beliau menggesa seluruh masyarakat supaya mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi bagi mengelak berlakunya jangkitan baharu.

"Kita harap rakyat Terengganu dapat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi SOP. Amalkan PKP kendiri walaupun Terengganu kini berada di fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah. Jika ada urusan penting pastikan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi," katanya.

"Bagi membentuk imuniti kelompok, semua rakyat yang layak perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin supaya badan dapat menghasilkan antibodi berguna untuk melawan virus Covid-19," katanya.