Polis selamatkan lelaki Bangladesh diculik rakan senegara

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik oleh rakan senegaranya sejak seminggu lalu ditemui dalam keadaan lemah di sebuah rumah di Bandar Teknologi di sini selepas dia berjaya diselamatkan, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, majikan mangsa membuat laporan sekitar jam 12 tengah malam pada Khamis selepas dihubungi oleh isteri pekerjanya itu yang berada di Bangladesh.

"Dalam kejadian ini, mangsa berusia 39 tahun dilarikan oleh suspek iaitu dua lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan suspek menghubungi isteri mangsa di Bangladesh untuk memasukkan wang tunai satu juta Taka dianggarkan RM50,000.

"Isteri mangsa yang ketakutan melakukan transaksi tersebut ke dalam satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaid berkata, selepas tiga hari suspek masih enggan untuk melepaskan mangsa malah sekali lagi meminta wang tebusan dengan jumlah sama daripada isteri mangsa.

"Bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove, Kajang kurang 24 jam aduan dibuat. Suspek membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi, Kajang.

"Mangsa ditemukan di sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai serta dikunci dengan mangga.

"Semasa mangsa diselamatkan, seorang perempuan warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditangkap.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan, kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah," katanya.

Pada masa sama, katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, dan sebat jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd Zaid, semua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dibawa ke mahkamah pada Jumaat untuk permohonan reman.