'Pertemuan PM, pemimpin pembangkang hanya satu permulaan'

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan delegasi Pakatan Harapan pada 25 Ogos tempoh hari hanyalah sebuah permulaan kepada episod baharu politik negara.

Kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, kedua-dua pihak hanya baru bersetuju untuk duduk bersama berunding dan belum ada lagi ada kesepakatan dalam perihal gerak kerja seterusnya.

“Ada pelbagai persoalan daripada pelbagai pihak, adakah kenyataan bersama itu adalah kesudahannya?

“Jawapannya adalah tidak; ia adalah satu permulaan, belum ada apa-apa isi kandungan lagi dalam kenyataan bersama itu.”

Ditanya tentang perkembangan di pihak pembangkang, Anthony memaklumkan ketika ini draf rundingan sudahpun disiapkan yang mengandungi perihal mereformasi institusi Parlimen dan akta anti lompat parti sebagai antara butiran utamanya.

Cuma, katanya, Pakatan Harapan masih menunggu kesediaan kerajaan untuk mula berunding secara rasmi, bersemuka duduk semeja.

Ujar Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu, pengisian susulan kenyataan bersama pada 25 Ogos itu perlu diisi dan dilengkapkan bersama, tentang apa yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, apakah permintaannya dan apakah komitmen yang dituntut.

“Bagaimana untuk kita ‘move on’ dan ‘move forward’, dan bagaimana kita boleh merangka satu bentuk kerjasama yang boleh menstabilkan keadaan dan memacu negara dalam tempoh 12 hingga 18 bulan yang akan datang.”

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad dan Felo Penyelidik Society For Empowerment & Economic Development of Sabah (SEEDS), Rahezzal Shah Abdul Karim. - Awani