'BN Selangor terus jadi pembangkang efisien'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menjelaskan, kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih membawa mesej kebangkitan rakyat.

Menurutnya, kemenangan tersebut tidak dijangka apatah lagi pada saat mereka berdepan jentera kerajaan negeri dan pusat serta gabungan politik PH yang angkuh dengan kuasa dan mandat yang diterima pada PRU14.

"Bagaimanapun, kami menjadikan perkara itu dorongan dan panduan untuk menjalankan kempen serta meraih undi secara bebas, telus dan berintegriti.

ARTIKEL BERKAITAN: Semenyih BN punya!

"Bahkan, kami tidak menjanjikan bulan dan bintang termasuk tol percuma waima, kereta terbang sekali pun kepada pengundi DUN Semenyih," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat menuntut segala perkara yang dijanjikan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bermula daripada PRU lalu sehingga ke PRK DUN Semenyih.

"Buktikan dan laksana apa yang telah dijanjikan dan jangan anak tirikan Semenyih gara-gara kekalahan pada hari ini.

"Selain itu, jangan berterusan beretorik baru sembilan bulan menjadi kerajaan, semuanya salah kerajaan terdahulu, tidak sangka boleh menang dan alasan demi alasan untuk menghalalkan pembohongan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mat Nadzari, susulan kemenangan ini, BN Selangor komited untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri (lima BN dan satu Pas).

Mandat yang diberi kepada Zakaria Hanafi tidak akan disia-siakan dan BN Selangor komited menjadi pembangkang yang efisien dan tegas dalam membawa suara rakyat.

PRK DUN Semenyih menyaksikan BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria memperoleh 19,780 undian.

Kemenangan Zakaria sekali gus berjaya mendapat 1,914 undi majoriti menewaskan calon PH yang memperoleh sebanyak 17,866 undian.

Sementara itu, Kuan Chee Heng (Bebas) pula meraih 725 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul menerima 847 undi.