Jangan salahkan Ziyad, tapi salah siapa?

Muhammad Ziyad Zolkefli
Muhammad Ziyad Zolkefli
A
A
A

SELURUH rakyat Malaysia tetap berbangga dengan atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli walaupun tidak mendapat pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo, Selasa lalu.

Dalam acara itu, atlet berusia 31 tahun itu berjaya memecahkan rekod dunia menerusi 17.94m pada lontaran ketiga, sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Kejayaan itu membolehkan 'Super Ziyad’ mencetus sensasi apabila berjaya mempertahankan emas selain menjadi pemilik rekod dunia F20 dan mengatasi catatan atlet normal, Adi Aliffudin Hussin yang memegang rekod kebangsaan dengan 17.54m serta rekod Sukan SEA (17.74m).

Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila pihak Paralimpik Tokyo 2020 mengesahkan pingat emas yang diraih anak kelahiran Selangor itu telah ditarik semula.

Penyertaan Ziyad dibatalkan dikategorikan sebagai do not start (DNS). Ini kerana, kem Ukraine dikatakan melakukan protes apabila mendakwa tiga atlet, Ziyad, Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio dari Ecuador lewat memasuki call room sebelum pertandingan dimulakan.

Memetik laporan Astro Arena, atlet yang terlambat memasuki call room tidak dibenarkan bertanding sama sekali sebelum saingan dimulai. Namun situasi yang dihadapi Ziyad sangat berbeza apabila atlet Malaysia ini telah pun menamatkan saingan dan telah dinyatakan juara.

Tidak berdiam diri, sekretariat Malaysia di Tokyo membuat bantahan secara rasmi kepada penganjur susulan penarikan pingat emas Ziyad. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Ziyad apabila World Para Athletics (WPA) menolak rayuan kontinjen negara, sekali gus emas sah menjadi milik atlet Ukraine, Maksym Koval.

Kecewa dengan keputusan itu, rakyat Malaysia terus bersuara melahirkan rasa tidak puas hati dengan menyerang akaun Instagram Koval dan akaun Twitter rasmi @Tokyo2020.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata netizen berang dengan tindakan kem Ukraine yang dilihat sengaja mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia apabila dilihat bertindak tidak profesional.

Kekecewaan rakyat Malaysia juga jelas terpancar apabila nama Ziyad menjadi trending di Twitter dengan lebih 370,000 ciapan selain tanda pagar #justiceforziyad turut digunakan.

Berasa bersalah dan bertanggungjawab kerana mengecewakan rakyat Malaysia, anak sulung daripada empat beradik itu tampil menitipkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

Bagi penulis, ia bukanlah kesilapan Ziyad dan juga protes yang dilakukan kem Ukraine, sebaliknya ia padah dan satu kesilapan besar pegawai kontinjen Malaysia yang menguruskan kepatuhan protokol atlet istimewa itu di Paralimpik Tokyo.

Sepatutnya pegawai yang ditugaskan menjaga Ziyad perlu memastikan atlet itu berada di call center dan mendaftarkan diri untuk pertandingan tepat pada waktunya.

Sebaliknya mereka gagal dalam pengurusan masa.

Cerita sebenar akhirnya terbongkar. Rupanya Ziyad dan dua lagi atlet telah pun diklasifikasikan sebagai non-starter apabila gagal mendaftarkan diri di call room.

Beliau hanya dibenarkan memasuki gelanggang sementara protes dari Malaysia dipertimbangkan oleh juri.

Justeru, ramai mula mempertikaikan cara pegawai sukan yang bertanggungjawab menguruskan atlet berkenaan.

Apa tidaknya, penyertaan atlet kita batal hanya disebabkan masalah teknikal.

Bagi penulis, isu itu cukup besar. Tindakan tatatertib atau digantung kerja patut dikenakan sekiranya kesalahan disebabkan kecuaian atau kesilapan dari pegawai berkenaan.

Inilah budaya amalan yang bukan sahaja memudaratkan apabila tidak dibendung, malah membawa bala besar dengan kehilangan satu pingat yang sepatutnya jelas milik kita.

Ukraine dikatakan mendapat manfaat daripada disiplin dan amalan budaya profesionalisme yang lebih tinggi daripada kita.

Manfaat itu adalah pingat ke-15 mereka di Paralimpik Tokyo. Jadi agak mustahil mereka begitu dahagakan pingat sehingga mahu mengautnya mengikut 'pintu belakang’.

Kita telah mendapat satu pengajaran yang amat perit. Buka mata, buka minda dan ubah cara kerja.

Moga kesilapan ini tidak akan berulang. Untuk Ziyad, anda tetap wira di hati rakyat Malaysia dan jangan putus asa, teruskan perjuangan.

*Azie Yahaya ialah Web Editor Sinar Harian Online