Langkawi kembali dibuka, rakyat gusar

Pulau Langkawi. - Foto 123rf
Pulau Langkawi. - Foto 123rf
A
A
A

KERAJAAN pada Khamis mengumumkan pembukaan tempat pelancongan di Pulau Langkawi bermula 16 September ini.

Pengumuman itu pastinya menggembirakan pemain industri pelancongan yang dinantikan sejak sekian lama sudah tidak beroperasi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri yakin pembukaan pelancongan domestik secara berperingkat, mengikut fasa itu dapat memberikan sinar buat penggiat industri itu di negara ini.

Beliau berkata, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang telah lama terjejas akibat penularan Covid-19, memandangkan pulau itu terasing sekali gus memudahkan urusan pemantauan.

Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus

Walau bagaimanapun, terdapat juga kerisauan dalam kalangan rakyat terutamanya penduduk Langkawi yang mana kes positif masih mencatatkan angka yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pembukaan Pulau Langkawi bakal mendedahkan kepada risiko pembawakan virus Covid-19 ke dalam negeri itu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis mencadangkan kepada MOTAC hanya menerima kemasukan pelancong yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan memasuki pulau pelancongan itu.

Dengan pelaksanaan itu, pelancong mahupun penduduk setempat tidak perlu gusar dengan andaian kononnya dengan membuka pintu Langkawi kepada orang luar berisiko meningkatkan kes Covid-19 kerana menjadi keutamaan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat.