Elok bahas isu subsidi haji

A
A
A

WALAUPUN Tabung Haji akan meneruskan subsidi haji, ini tidak menghalang kita daripada terus berbincang mengenai ketepatan bantuan itu. Banyak sebab mengapa kita harus berbahas secara terbuka dan bijaksana mengenainya.

Pertama, seperti saya katakan dalam tulisan minggu lalu, urusan haji telah menjadi satu perniagaan canggih di mana keuntungan adalah matlamat utamanya.

Unsur perniagaan ini akan hanya menjadi semakin ketara kerana semakin tahun semakin ramai umat Islam mengerjakan haji.

Apabila permintaan ke atas perkhidmatan yang berkaitan dengan pengerjaan haji seperti pengangkutan, kediaman dan makanan meningkat maka harganya secara automatik naik.

Haji adalah operasi logistik terbesar di dunia dan kita tidak boleh salahkan kerajaan Arab Saudi kalau ia terpaksa memasukkan unsur perniagaan untuk menampung kos penyelenggaraannya.

Mengikut Jabatan Perangkaan Arab Saudi, pada tahun 2017 seramai 2.4 juta orang mengerjakan haji yang mana 1.8 juta daripadanya adalah jemaah luar negara dan menyumbang AS$8 bilion (kira-kira RM32 bilion) kepada ekonomi negara itu.

Ini menjadikan pendapatan haji sebagai yang kedua terbesar selepas minyak dan gas. Itu belum ambil kira umrah yang boleh dikerjakan sepanjang tahun di luar musim haji. Pada tahun 2017 umrah menghasilkan pendapatan sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) bagi kerajaan Saudi.

Memandangkan ketidaktentuan dalam pasaran minyak dunia, kerajaan Saudi secara strategik telah menjadikan haji dan umrah sebagai faktor penting dalam perancangan masa depan ekonominya.

Artikel Berkaitan:

Di bawah strategi Wawasan 2030 yang diperkenalkan pada tahun 2016, kerajaan Saudi bercadang mengurangkan pergantungan ke atas minyak dengan memaju dan memperluaskan sektor perkhidmatan seperti kesihatan, pendidikan, prasarana, pelancongan dan riadah. Dalam sektor pelancongan sahaja ia menyasarkan 30 juta pengunjung umrah setahun.

Kedua, manakala bagi jemaah pemergian mereka ke Makkah adalah untuk tujuan ibadat, tetapi kepada pembekal perkhidmatan dan tuan rumah ia adalah peluang perniagaan. Malah unsur mencari keuntungan daripada ibadah haji ini wujud dalam operasi TH sendiri. TH menggunakan simpanan bakal haji untuk melabur. Ia juga meminjam daripada pasaran kewangan untuk memperbesarkan modal dan menambah pelaburannya.

Penyimpan mendapat keuntungan dalam bentuk hibah jika perniagaan TH untung. Oleh sebab untuk satu tempoh yang lama TH diuruskan dengan baik, ramai orang Islam menggunakannya sebagai tempat selamat membuat pelaburan patuh syariah.

Sebahagian besar daripada mereka sudah pun mengerjakan haji dan tidak memerlukan sebarang bantuan kerana mereka mempunyai lebih daripada cukup untuk menunaikan haji. Jadi mereka menyimpan dengan TH semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Tetapi malang seribu kali malang ada juga penyimpan TH yang berpendapatan tinggi masih bermentaliti subsidi sehingga sanggup melengah atau menangguhkan pengerjaan haji semata-mata kerana menunggu kelayakan menerima subsidi.

Sepatutnya orang yang dianugerahkan kemakmuran oleh ALLAH Taala tidak perlulah bersaing dengan orang susah untuk mendapatkan subsidi atau apa juga bentuk bantuan. Maaflah kalau saya silap. Tapi saya selalu dengar orang agama kata, ibadat haji menjadi wajib sebaik saja seseorang itu ada kemampuan yang cukup untuk dirinya dan anak isteri yang ditinggalkan semasa dia ke Makkah dan tidak wajib ke atas orang tidak mampu.

Zaman saya mula belajar agama dan tengok datuk nenek serta ibu bapa saya ke Makkah, tidaklah dengar pula mengenai subsidi haji. Ada tidak pun kita bagi zakat sedekah kepada orang yang hendak pergi haji. TH pun mula-mula dulu tidak bagi subsidi. Ikut sumber TH, subsidi diperkenalkan hanya pada tahun 2001.

Macam ini sajalah; kalau haji boleh dikerjakan melalui subsidi dan TH hendak teruskan juga maka duit untuk tujuan itu wajiblah dijana sendiri oleh TH. Minta ampunlah kalau saya kata, tidak berapa sedap kalau TH mengharapkan atau bergantung pada peruntukan perbendaharaan untuk memberi subsidi.

Lagipun yang selalu ingatkan kita agar berhati-hati bila menerima duit untuk mengerjakan haji atau untuk bagi anak isteri makan adalah orang masjid. Untuk memperjelaskan isu subsidi haji ini maka elok sangatlah kalau alim ulama, cerdik pandai dan orang masjid menelitinya secara terperinci.

Saya amat terkejut apabila beberapa orang yang saya tahu bergaji besar atau berpendapatan tinggi, bertanya adakah mereka layak menerima subsidi jika mereka melangkau giliran kuota haji. Nampaknya mentaliti subsidi ini bukan terhad kepada orang susah dan berpelajaran rendah saja. Orang kelas menengah dan orang kaya pun sama.

Jadi elok sangatlah kalau kita fikirkan semula isu subsidi ini supaya orang kita tidaklah lahir mengharapkan tongka dan mati pun bertongkat juga.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara