Ahmad Faizal lawat FAM

Ahmad Faizal (kanan) bersama Hamidin pada Khamis. FOTO: Football Association of Malaysia
Ahmad Faizal (kanan) bersama Hamidin pada Khamis. FOTO: Football Association of Malaysia
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Wisma FAM di Kelana Jaya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kehadiran Ahmad Faizal disambut oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan dua timbalan presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram.

Dalam kunjungan itu, Hamidin mengambil kesempatan memberi penerangan dan bertukar pendapat dengan Ahmad Faizal berhubung pelbagai bentuk kerjasama di antara FAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta perkembangan bola sepak tempatan secara amnya.

Antara perkara dibentangkan FAM adalah mengenai visi dan misi FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30 yang akan tamat kitaran pertama pada 2022 dan aspek kerjasama dua hala Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

"Selain membincangkan hala tuju PPBN, kami juga membincangkan projek pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC) dan ibu pejabat baharu FAM di Putrajaya dan beberapa aspek pembangunan bola sepak tempatan," kata Hamidin dalam kenyataan pada Khamis

Pada masa sama, Ahmad Faizal, dalam ucapannya pada kunjungan itu, menganggap FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai pengaruh cukup luas tetapi perlu memikirkan kaedah memperkasa ekosistem sedia ada bagi kelangsungan sukan itu sebagai satu industri.

Selain menyaran FAM kekal fokus kepada kemajuan bola sepak elit, Ahmad Faizal juga mengingatkan badan induk itu agar memperkasakan saingan akar umbi sebagai satu cara menjana ekonomi yang boleh menyumbang semula kepada kelestarian industri bola sepak.

"Dalam mana-mana isi rumah, penduduknya sama ada bermain atau menjadi pengikut sukan bola sepak. Saya menggesa agar FAM bekerjasama dengan semua pemegang taruh agar membudayakan bola sepak sebagai sukan rakyat yang dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menyarankan agar FAM melihat saingan liga di peringkat akar umbi yang boleh membantu menjana pendapatan dan juga membuka ruang pekerjaan buat bekas pemain,” kata Ahmad Faizal.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee. - Bernama