30 hari sifar kes kematian Covid-19

Labuan merekodkan kes kematian akibat Covid-19 sifar bagi tempoh 30 hari menjadikan ia sebagai wilayah persekutuan dan negeri yang pertama berjaya dalam memerangi pandemik berkenaan.
Labuan merekodkan kes kematian akibat Covid-19 sifar bagi tempoh 30 hari menjadikan ia sebagai wilayah persekutuan dan negeri yang pertama berjaya dalam memerangi pandemik berkenaan.
A
A
A

LABUAN - Labuan merekodkan kes kematian akibat Covid-19 sifar bagi tempoh 30 hari (sehingga Khamis), menjadikan ia sebagai wilayah persekutuan dan negeri yang pertama berjaya dalam memerangi pandemik berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, vaksinasi yang berkesan, kerjasama yang kuat dari rakyat, kawalan sempadan yang ketat, kawalan kesihatan awam yang sistematik dan program intervensi berdasarkan penilaian risiko serta program imunisasi; merupakan elemen utama yang menyumbang kepada kejayaan itu.

"Langkah vaksinasi yang disokong oleh sekatan pergerakan untuk kesihatan awam akhirnya berjaya mengubah keadaan, kami amat gembira dapat mencatatkan kes kematian sifar selama sebulan hari ini," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Dr Ismuni berkata, usaha mengekalkan kes kematian sifar akibat Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah, dan petugas kesihatan perlu bekerja keras untuk memberikan perkhidmatan sepanjang masa bagi merawat pesakit.

“Salah satu kekuatannya adalah usaha dan dedikasi pekerja penjagaan kesihatan yang luar biasa yang difokuskan untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

"Penyedia penjagaan kesihatan berusaha sebaik mungkin untuk memberi rawatan kepada pesakit, manakala para jururawat mempunyai peranan penting dalam menyediakan rawatan intensif serta membantu dengan aktiviti kehidupan seharian, dan pastinya cabaran hebat adalah apabila bekerja di wad Covid-19.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa penyedia perkhidmatan kesihatan kita menghadapi cabaran getir apabila bekerja dalam konteks yang sama sekali baharu, keletihan kerana beban kerja yang berat dan alat pelindung, bimbang kemungkinan dijangkiti dan menjangkiti orang lain, merasa tidak mampu menangani keadaan pesakit, dan menguruskan hubungan dalam keadaan tertekan.

"Penyedia penjagaan kesihatan kami harus menggunakan strategi pengurusan diri untuk mengatasi situasi itu, akhirnya mereka berjaya mengatasi cabaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Ismuni berkata, Labuan masih terdedah kepada jangkitan disebabkan kedudukannya yang hampir dengan Sabah dan Sarawak, dua negeri yang masih bergelut dengan pandemik.

Contohnya, salah satu dari lima kes baharu pada Khamis adalah melibatkan seorang pengembara dari Sabah, sementara selebihnya dari ahli keluarga di sini yang belum diberi vaksin.

“Labuan sebagai hab minyak dan gas, terus menerima kemasukan kru kapal dari dalam dan luar negara. Oleh itu, adalah penting bagi semua orang untuk terus mematuhi prosedur operasi standard dalam aktiviti harian,” katanya.

Daripada populasi dewasa Labuan, 98.71 peratus atau 67,613 telah menamatkan suntikan dos kedua vaksinasi sehingga Khamis. - Bernama