MEL21 bakal jadi acara tahunan

Malaysia Esports League 2021 (MEL21)
Malaysia Esports League 2021 (MEL21)
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Esports League 2021 (MEL21) bakal dijadikan sebagai acara tahunan bagi menyokong pembangunan pemain e-sukan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated, Ahmed Faris Amir berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Kementerian Belia dan Sukan memandangkan acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Dalam edisi MEL yang seterusnya, kami berharap untuk mendapat lebih banyak penglibatan daripada pemain wanita dan pelbagai kaum.

“Semua perlawanan disiarkan secara langsung di platform kejohanan e-sukan kebangsaan, esukan.gg dan halaman Facebook ESI dan sebanyak 2.2 juta minit video ditonton dengan jumlah 700,00 tontonan direkodkan sepanjang MEL21 Kebangsaan.

“Jumlah ini menunjukkan minat masyarakat e-sukan tempatan dalam sebuah kejohanan menarik dan kompetitif untuk akar umbi serta jumlah tontonan melebihi unjuran awal ESI yang hanya menyasarkan 100,000 tontonan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmed Faris berkata, MEL21 dianjurkan oleh ESI dengan kerjasama 16 persatuan e-sukan negeri dan hampir 30,000 pemain tempatan mendaftar untuk menyertainya.

Menurutnya, pemenang peringkat kebangsaan dan juara membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi juara setiap satu.

“Liga e-sukan Malaysia untuk peringkat akar umbi yang julung kalinya diadakan terbahagi kepada dua peringkat iaitu Liga Negeri pada 10 Julai hingga 8 Ogos dan Liga Kebangsaan pada 14 Ogos hingga 31 Ogos 2021.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 288 pemain daripada 64 pasukan mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan telah bertanding dalam MEL21 Kebangsaan dalam empat kategori iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM), Mobile Legends, Bang Bang (MLBB), EA Sports FIFA21 dan Dota 2.

“Bagi PUBGM, perlawanan diadakan pada 14, 15, 16 Ogos dan 22 Ogos adalah hari terakhir, sebanyak 15 pusingan diadakan sepanjang empat hari kejohanan menggunakan sistem mata, bertanding dalam tiga peta, Sanhok, Erangel dan Miramar,” ujarnya

Mengulas lanjut, Ahmed Faris berkata, Pasukan Farang Guerrilla dari Selangor muncul sebagai pemenang dengan 13 kill count tertinggi pada hari akhir dan ahlinya terdiri daripada Adib Syazwan Abd Razak, Nur Muhammad Safiuddin Abdul Jabar, Muhammad Abbas Saufi dan Muhammad Helmi Eizlan Mohammad Ehsan.

Tambahnya, perlawanan Dota dua kumpulan diadakan pada 17 dan 18 Ogos 2021 dan kesemua 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan bertanding dengan format liga dalam satu pertandingan ‘Best of 1’ sebelum beralih ke pusingan kalah mati dengan empat pemenang kumpulan liga mara ke Upper Bracket sementara empat pasukan dengan mata tertinggi berpindah ke Lower Bracket.

“Pasukan Thanks dari Sarawak muncul sebagai pemenang dalam perlawanan akhir menentang pasukan Animal dari selangor membabitkan ahlinya Banedict Chin Kuok Hong, Nelson Chin Kuok Chiat, Raymond Then Wan Jia, Nicholas Chin Kuok Chun dan Low Kin Siong.

“Perlawanan FIFA21 pula diadakan pada 20, 21 dan 27 Ogos sebagai Final Playoff dan 16 pemain dibahagikan kepada empat kumpulan semasa pusingan awal liga sebelum pemenang dari setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati semasa Final Playoff.

“Muhammad Faiz Hariry (OrangeFavLain) dari Kedah muncul sebagai juara mengalahkan Kamil Al Amini Jamalludi Al Amini (AKA MAXNEVIS) dari Perak dengan gol emas,” katanya.

Jelasnya, bagi perlawanan MLBB pula diadakan pada 23, 24 dan 30 Ogos sebelum Final Playoff pada 31 Ogos 2021 dengan pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan semasa peringkat awal liga sebelum pemenang setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati Upper Bracket dan empat pasukan dengan mata tertinggi bergerak ke pusingan kalah mati Lower Bracket.

"Sementara itu, Cyduken Pulau Pinang tampil menang mengatasi Mikey Terengganu dengan skor 3-0 yang dibarisi Muhammad Hakim Adanan, Muhammad Nabil Japri, Ahmad Zaki Ibrahim dan Mohamed Aiman Solihin Mohamed Iqbal,” jelasnya.