Lelaki rugi RM13,300 diperdaya sindiket 'seks online'

PDRM
PDRM
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja swasta mengalami kerugian RM13,300 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan khidmat seks secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 30-an itu dikatakan berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Line sebelum dihubungi oleh seorang ejen melalui aplikasi WeChat yang menawarkan khidmat seks dengan wanita dikenalinya.

Beliau berkata, mangsa diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda.

“Lelaki itu turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat.

"Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi sejurus lelaki itu membuat pembayaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noorzainy berkata, selepas menyedari ditipu mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: