Bantuan Khas Covid-19 bantu golongan berpendapatan rendah

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM – Pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) secara berfasa dan bersasar kepada golongan miskin tegar, B40, M40 dan bujang menzahirkan komitmen kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesukaran yang melanda akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembayaran BKC yang berjumlah RM3.1 bilion secara keseluruhan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah mengenal pasti sebanyak 189 kawasan Parlimen yang berada dalam kategori luar bandar dan sudah tentu sejumlah besar penerima bantuan ini datang dari kawasan-kawasan ini.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak akan merancakkan ekonomi kawasan luar bandar,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri pada Rabu mengumumkan bahawa BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, proses pengkreditan bayaran bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pembayaran BKC ini juga menunjukkan kerajaan komited dalam melaksanakan pakej-pakej bantuan sepertimana yang telah diumumkan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Bantuan yang disalurkan ini juga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri dan memupuk semangat kebersamaan serta perpaduan dalam melawan pandemik ini dan juga kesan ekonomi yang berlaku khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Artikel Berkaitan:

“Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban kewangan dan membantu dalam penyaraan kehidupan penerima serta keluarga,” katanya.