Hanya benarkan pelancong lengkap dua dos vaksin ke Langkawi

Dataran Lang megah menanti kunjungan pelancong. Gambar kecil: Razmi Rahmat
Dataran Lang megah menanti kunjungan pelancong. Gambar kecil: Razmi Rahmat
A
A
A

ALOR SETAR - Langkawi bersedia menerima kemasukan pelancong namun hanya individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki pulau pelancongan itu.

Itu antara cadangan dikemukakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis kepada Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) untuk membendung penularan Covid-19 dan pada masa sama merancakkan kembali industri pelancongan Langkawi.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Razmi Rahmat, ini kerana pengusaha hotel di Langkawi sudah melakukan persiapan awal untuk menerima kehadiran pelancong dengan menetapkan kriteria-kriteria tertentu.

“Antara yang telah dilakukan, kesemua kakitangan hotel bawah naungan MAH sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala premis dan bilik hotel sudah menjalani proses sanitasi.

"Pada masa sama, pihak hotel akan memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Razmi berkata, pelancong mahupun penduduk setempat tidak perlu gusar dengan andaian kononnya dengan membuka pintu Langkawi kepada orang luar berisiko meningkatkan kes Covid-19 kerana menjadi keutamaan pihaknya untuk melaksanakan SOP dengan lebih ketat.

“SOP khusus berkaitan gelembung pelancongan (travel bubble) perlu diedarkan sebelum ia dilaksanakan agar semua pihak bersedia dengan peraturan berkenaan.

"Malah MAH sudah mematuhi semua SOP dan memperkenalkan pensijilan kebersihan dan kesihatan ‘Clean & Safe Malaysia’ untuk sektor penginapan dan disokong MOTAC, oleh itu pelancong tidak perlu risau terhadap keselamatan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, perakuan kedua adalah ‘MySAFE Langkawi’ yang merupakan program pensijilan pematuhan SOP Covid-19 yang ditawarkan kepada premis-premis perniagaan bawah segmen hotel/resort, tempat penginapan, outlet makanan dan minuman, agensi travel & tours, produk pelancongan serta outlet peruncitan.

“Dengan adanya dua pensijilan itu, ia memberi lebih keyakinan kepada pelancong untuk berkunjung ke premis-premis terbabit tanpa ragu sama ada premis tersebut patuh SOP Covid-19 atau sebaliknya.

"Program pensijilan MySAFE Langkawi adalah seiring dengan pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi perintis pelaksanaan ‘travel bubble’ pada 16 September ini,” katanya.

Razmi berkata, aspek lain termasuk status Langkawi yang merupakan daerah pertama di Kedah yang mencapai 80 peratus kadar vaksinasi lokaliti.

“Penggunaan MySejahtera juga perlu diwajibkan untuk penginap hotel sama ada tempahan melalui kenderaan persendirian atau penerbangan untuk memastikan maklumat tepat diperolehi.

"Saya percaya agensi-agensi terlibat juga efisyen dengan melakukan beberapa tapisan sebelum benarkan pelancong memasuki Langkawi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun mengingatkan agar kemasukan pelancong hendaklah secara terkawal dan bukan dibenar sewenang-wenangnya.

“Antaranya kawal kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti penumpang feri hanya 50 peratus dan kekerapan perjalanan dihadkan bagi mengelak Langkawi ‘dibanjiri’ pelancong. Pelancong yang ingin memasuki Langkawi dibuat secara temujanji bagi mengawal kesesakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin pelancongan gelembung dapat merancakkan kembali aktiviti pelancongan seterusnya menjana semula ekonomi penduduk setempat.

“Dalam tempoh tiga bulan terawal hingga Disember, saya percaya akan berlaku kerancakkan dan peningkatan aktiviti pelancongan namun memerlukan setahun untuk sektor itu kembali stabil, ekoran sektor ekonomi dibuka secara berperingkat. Itupun sekiranya tiada lagi penutupan dan pembukaan operasi dalam tempoh terbabit,” katanya.

Terdapat 53 hotel berdaftar bawah MAH Kedah/Perlis di Langkawi merangkumi tiga hingga lima bintang.