KDNKA cadang tambah dua batalion PGA di Sabah

Zainal (kiri) memakaikan lencana kepada salah seorang penerima lencana sayap kehormat payung terjun 69 komando di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, Kinarut, Papar.
Zainal (kiri) memakaikan lencana kepada salah seorang penerima lencana sayap kehormat payung terjun 69 komando di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bercadang untuk menambah dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah.

Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dua batalion itu sudah dibincangkan dan dirancang untuk diwujudkan di dua daerah iaitu Keningau dan Semporna.

Beliau berkata, ia akan membabitkan lebih 1,000 anggota dan pegawai bagi kedua-dua batalion berkenaan.

"Tambahan kedua-dua batalion ini diharap akan dapat mengukuh dan memantapkan lagi pemantauan serta penugasan terutamanya di sempadan perairan negara.

"Kita berharap pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dapat meluluskan rancangan yang kita buat ini," katanya pada sidang akhbar selepas upacara Penganugerahan Lencana Kehormat Jabatan KDNKA di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, Kinarut, pada Khamis.

Zainal berkata, penubuhan dua batalion itu dijangka akan dapat mengawal lebih banyak ketirisan yang berlaku terutamanya di Semporna yang membabitkan kawasan perairan yang luas.

Menurutnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia untuk melaksanakan penubuhan dua batalion berkenaan kecuali membabitkan aset dari segi infrastruktur yang akan memakan masa.

"Sekiranya mendapat kelulusan, pihak KDNKA sudah bersedia termasuk memindahkan pegawai dan anggota yang sepatutnya berada di batalion berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu berlaku ketirisan sama ada di kawasan perairan dan hutan selain kawalan keselamatan membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

Beliau berkata, penambahan itu juga turut membabitkan kawasan sempadan di Sarawak iaitu di Kapit.