Garis panduan korek pasir akan ditambah baik

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau lokasi paip dasar Sungai Terengganu pecah berhampiran Pulau Sekati, di sini.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau lokasi paip dasar Sungai Terengganu pecah berhampiran Pulau Sekati, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) supaya aktiviti perlombongan pasir di kawasan sungai dapat dikawal.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, garis panduan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sudah diterima dan diguna pakai oleh semua negeri, namun ada beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat.

"Pertama sekali, penandaan paip bawah air perlu dibuat sebab apabila tiada tanda, orang tidak tahu ada paip utama dan kita ada kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak dari bangunan dan paip utama untuk korek pasir.

"Garis panduan ini satu mekanisme oleh pihak KASA supaya semua kerajaan negeri patuh dan kita harap ia dipatuhi," katanya selepas meninjau lokasi paip air di dasar Sungai Terengganu yang pecah buat kali kedua di Losong, di sini pada Khamis.

Menurut Tuan Ibrahim, garis panduan itu bertujuan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh negara dengan mengambil kira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

Beliau berkata, ia juga bertindak sebagai salah satu kaedah dalam menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan dalam satu jangka masa ditetapkan dan mekanisme pemantauan perlu dijalankan.

Mengulas kerosakan paip air dasar Sungai Terengganu, Tuan Ibrahim memaklumkan, paip itu akan diganti dengan paip baharu yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Australia serta Itali.

Katanya, kos baik pulih paip utama yang membekalkan air kepada penduduk daerah ini dan Kuala Nerus itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 September depan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini pemasangan sedang giat dilaksanakan dan kita masih menunggu paip baharu tiba dari luar negara," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan krisis bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berikutan paip dasar Sungai Terengganu pecah buat kali kedua dijangka kembali pulih pada 12 September depan.

Kerja-kerja baik pulih mengambil masa sehingga 20 hari kerana kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) itu lebih teruk berbanding sebelum ini.