Bekas guru terlepas hukuman gantung

 Seorang bekas guru sekolah antarabangsa terlepas tali gantung kerana mengedar methamphetamine seberat 959.5 gram apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan pertuduhan kepada memiliki dadah. Foto fail.
Seorang bekas guru sekolah antarabangsa terlepas tali gantung kerana mengedar methamphetamine seberat 959.5 gram apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan pertuduhan kepada memiliki dadah. Foto fail.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas guru sekolah antarabangsa terlepas tali gantung kerana mengedar methamphetamin seberat 959.5 gram apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan pertuduhan kepada memiliki dadah.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf pada Rabu membenarkan rayuan Suhailah Abdullah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar dadah.

Mahkamah sebaliknya menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 27 Mei 2013, setelah menggantikan pertuduhan kepada memiliki.

Peguam, Datuk Seri K Rakhbir Singh yang mewakili wanita itu berkata, Suhailah, 48, telah dibebaskan dari Penjara Kajang memandangkan telah menjalani hukuman penjara berkenaan.

“Dia menangis setelah Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya," kata peguam itu dan menambah bahawa anak guamnya juga mengucapkan terima kasih kepada hakim Mahkamah Persekutuan yang telah memberikannya peluang baharu.

Rakhbir Singh berkata, mahkamah mendapati sabitan Suhailah kerana mengedar dadah adalah tidak selamat.

Prosiding di hadapan Hakim Rohana dan Hakinm Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dijalankan secara maya.

Suhailah didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun 2013 atas pertuduhan mengedar dadah di balai ketibaan Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 11.15 pagi, 27 Mei 2013.

Artikel Berkaitan:

Dia tiba di lapangan terbang dari New Delhi setelah transit di Singapura.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengedar tetapi mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi memiliki dadah dan memerintahkan Suhailah membela diri atas pertuduhan memiliki.

Suhailah bagaimanapun memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan kemudiannya dihukum penjara 14 tahun.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan dan Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2016 memerintahkan Suhailah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah.

Pada 23 Jun 2017, Mahkamah Tinggi mendapati dia bersalah atau pertuduhan mengedar dadah dan menjatuhi hukuman mati.

Suhailah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2018.

Dalam prosiding rayuan, Rakhbir Singh berhujah bahawa Suhailah ditipu dua warga Nigeria dari New Delhi, India, yang memintanya membawa beg berisi pakaian baharu untuk diserahkan kepada rakan mereka juga warga Nigeria di Malaysia.

Setelah memeriksa beg tersebut, Suhailah bersetuju untuk menolong mereka membawa beg itu dan tanpa disedari, dia membawa dadah yang diletakkan secara tersembunyi di dalam beg itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir dan Nahra Dollah mewakili pendakwaan. - Bernama