Fenomena kepala air Gunung Jerai berlaku lagi

Hujan lebat tanpa henti lebih dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi di puncak Gunung Jerai itu menyebabkan arus deras seterusnya berlaku kepala air.
Hujan lebat tanpa henti lebih dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi di puncak Gunung Jerai itu menyebabkan arus deras seterusnya berlaku kepala air.
A
A
A

YAN – Fenomena kepala air berskala kecil berlaku lagi di pusat rekreasi Titi Hayun setelah hujan lebat beberapa jam pada Khamis menyebabkan arus deras dan limpahan air di kawasan sekitarnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bagaimanapun kejadian kepala air yang dikesan pada pagi Khamis itu tidak seburuk tragedi yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

Menurutnya, hujan lebat tanpa henti lebih dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi di puncak Gunung Jerai itu menyebabkan arus deras seterusnya berlaku kepala air namun aliran sungai tidak melimpah ke kawasan penempatan dan tiada banjir kilat berlaku.

Arus deras yang mengalir di Titi Hayun selepas hujan lebat tanpa henti lebih dua jam pada Khamis. (Ihsan pembaca)
Arus deras yang mengalir di Titi Hayun selepas hujan lebat tanpa henti lebih dua jam pada Khamis. (Ihsan pembaca)

“Alhamdulillah, tidak seteruk 18 Ogos lalu, dan kali ini tiada mangsa yang terlibat. Ini kerana air sungai tidak melimpah ke kampung berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat jam 4 petang, keadaan masih terkawal dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak telah melakukan pemantauan di kawasan berkenaan sejak pagi.

“Seramai enam anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak berada di lokasi untuk memantau setiap empat jam terutama di kawasan berisiko," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memberi peringatan kepada penduduk di kawasan berdekatan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengawasi paras air sungai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai memusnahkan pusat peranginan Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi selain mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

Bencana itu turut mengorbankan enam mangsa akibat dihanyutkan arus deras. Ia turut menyebabkan 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan.