Kerajaan sedia kediaman untuk golongan terkesan Covid-19

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menyediakan kediaman bagi golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 pada kadar sewa paling minimum untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya beliau akan mengumumkan maklumat lanjut berhubung inisiatif bantuan kediaman untuk penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 itu pada Isnin ini, yang merupakan antara fokus utama beliau apabila menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata pandemik Covid-19 memberi impak besar pada sudut ekonomi rakyat hingga ada yang hilang pekerjaan, tidak mampu menampung perbelanjaan harian serta membayar sewa kediaman dan antara mereka ialah golongan penjaja, peniaga kecil dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Bukan sahaja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa,” katanya pada sidang media pertama di sini pada Khamis setelah dilantik ke jawatan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lepas.

Reezal Merican memulakan tugas secara rasmi di KPKT semalam.

Reezal Merican berkata KPKT akan meneruskan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0) dengan memfokuskan kepada penghuni PPR dan peniaga kecil di enam negeri yang kadar vaksinasinya rendah iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.

“Saya telah meminta pegawai saya menyediakan data mengenai golongan sasar yang masih belum mendapat vaksinasi iaitu mereka yang tinggal di 140 PPR seluruh negara dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membekalkan 80,000 dos suntikan vaksin untuk program MOVAK dengan seramai 33,000 golongan sasar di seluruh negara telah menerima suntikan pelalian tersebut setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Kata Reezal Merican, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan mengenai tambahan bekalan vaksin untuk meningkatkan kadar pemberian suntikan vaksin menerusi program MOVAK 2.0.

Berpegang pada konsep Keluarga Malaysia, Reezal Merican akan memastikan perancangan KPKT berjalan lancar untuk memastikan persekitaran rakyat adalah selamat apabila menjalani kehidupan normal kelak.-Bernama