X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Banjir kilat: Tiga pusat pemindahan dibuka di Johor

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor bagi menempatkan mangsa banjir kilat berikutan hujan lebat di negeri ini sejak pagi Khamis.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata, tiga PPS itu ialah Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai masing-masing di sini serta Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Pontian.

"Setakat pukul 4 petang ini, seramai 19 penduduk melibatkan lima keluarga dari Kampung Paya Embun yang terjejas ditempatkan di PPS SK Melayu Raya yang mula dibuka sejak pukul 11 pagi tadi.

"Hujan lebat melebihi enam jam telah mengakibatkan beberapa rumah di kampung tersebut dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Mengenai dua PPS di bandar raya ini, beliau berkata, kedua-duanya mula beroperasi pada 10 pagi tadi, bagaimanapun pihaknya kini sedang mengumpul data berkenaan dengan jumlah mangsa dan kampung yang terjejas.

Kamal yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor berkata, PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 menempatkan mangsa kuarantin kontak rapat Covid-19, manakala PPS SMK Skudai pula untuk individu yang tiada kontak rapat.

"Dua PPS terpaksa dibuka di bandar raya ini kerana mereka perlu diasingkan," katanya sambil menambah pihaknya juga sedang menunggu laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor mengenai punca dan sebab berlakunya banjir kilat di bandar raya itu.

Beliau berkata, keadaan cuaca di beberapa kawasan di negeri ini dilaporkan hujan renyai setakat ini, bagaimanapun keadaan banjir kilat itu tidak menyebabkan jalan utama ditutup kepada kenderaan awam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!