Pulau Pinang persoal status pembinaan KXP

Zairil Khir
Zairil Khir
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan mengenai status projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sama ada dibenarkan untuk diteruskan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri berpendirian cadangan pembinaan KXP perlu diteliti secara mendalam dan lebih terperinci.

Menurutnya, pendirian itu telah disuarakan secara konsisten dalam ulasan-ulasan kerajaan negeri kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MPFN dan Mesyuarat Kawal Selia MPFN.

"Melalui mesyuarat yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membangkitkan terdapat sebatang sungai yang terdapat di pertengahan tapak cadangan KXP dan pelaksanaan pengalihan Sungai Jerung adalah tidak digalakkan.

"JPS juga turut memaklumkan bahawa kualiti air Sungai Muda yang berdekatan dengan cadangan tapak KXP tersebut perlu dipelihara memandangkan sungai tersebut merupakan sumber air bersih bagi Pulau Pinang dan Kedah," katanya dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Zairil (DAP - Tanjong Bunga) berkata, selain daripada risiko ancaman kepada sungai, kerajaan negeri juga berpendirian bahawa kerajaan Persekutuan seharusnya memberi penjelasan mengenai status projek KXP ini kerana ia juga berkait secara langsung dengan projek pembesaran dan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Jelasnya, projek pembesaran LTAPP amat diperlukan kerana perangkaan menunjukkan lapangan terbang itu sudah lama melebihi kapasiti.

"Pada tahun 2019, jumlah penumpang telah mencecah 8.3 juta orang walaupun kapasiti LTAPP hanyalah 6.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, projek pembesaran LTAPP yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan telah pun ditangguh pelaksanaannya apabila kerajaan Persekutuan yang baharu ditubuhkan pada awal tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, alasan yang diberi oleh Menteri Pengangkutan semua projek lapangan terbang di Malaysia akan ditangguhkan sehingga hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan.

Jesteru, katanya kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan sama ada projek KXP telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan walaupun kajian NASP belum lagi selesai.