Penduduk rayu binaan garaj dapat dikekalkan

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (kiri) meninjau binaan garaj di Taman Bandar Baharu Pokok Sena yang perlu dirobohkan penduduk terlibat.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (kiri) meninjau binaan garaj di Taman Bandar Baharu Pokok Sena yang perlu dirobohkan penduduk terlibat.
A
A
A

POKOK SENA - Penduduk Taman Bandar Baharu di sini merayu agar binaan garaj berhampiran rumah mereka yang diarah dirobohkan dapat dikekalkan.

Difahamkan, hampir 100 keluarga diarahkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merobohkan struktur binaan menempatkan kereta penduduk di kawasan perumahan tersebut.

Penduduk, Zarina Mustafa, 54, berkata, dia akur dengan arahan untuk merobohkan sendiri garaj berusia 16 tahun berdekatan kediamannya itu.

"Bagaimanapun, saya agak sedih terpaksa merobohkan binaan tersebut kerana ia langsung tidak menganggu laluan penduduk setempat untuk keluar masuk selama ini."

"Jadi, kami berharap dibenarkan untuk membina semula binaan garaj di kawasan tanah berkenaan dan sanggup untuk membayar kos lesen atau caj berkaitan," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan itu bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pada Khamis.

Menurut Mohd Ikmal Zahidi Mukti, 18, bapanya membelanjakan hampir RM7,000 untuk membina struktur garaj tersebut sebagai penghadang pergerakan tanah.

"Binaan garaj berkenaan berusia lebih dua tahun bertindak sebagai tembok pertahanan bagi memastikan ia mampu menahan tanah daripada runtuh dan masuk ke dalam parit," katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, beliau mendapati binaan garaj dilakukan hampir 100 keluarga berkenaan langsung tidak menimbulkan masalah kepada penduduk lain.

Artikel Berkaitan:

"Ada binaan garaj sudah lama dan mencecah belasan tahun, malah tiada aduan diterima berhubung pembinaan struktur binaan tersebut," katanya.

Katanya, arahan merobohkan binaan garaj ini dikhuatiri tindakan tanpa mengambil kira keperluan dan masalah dihadapi penduduk Taman Bandar Baharu.

Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri diharap dapat campur tangan dan membenarkan pembinaan garaj kenderaan dengan mengambil kira kerugian serta keadaan penduduk terutamanya ketika pandemik Covid-19.