Situasi tegang ketika Kashmir berkabung kematian Geelani

Syed Ali Geelani. Foto AP
Syed Ali Geelani. Foto AP
A
A
A

SRINAGAR - Pasukan polis India dan pasukan separa tentera dikerahkan di sekitar ibu kota Srinagar pada Rabu sejurus berita kematian seorang pemimpin terkemuka tersebar di Kashmir yang ditadbir India.

Syed Ali Geelani, 91, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10 malam di kediamannya di pusat bandar Srinagar, lokasi beliau berada dalam tahanan di rumah untuk sebahagian besar dekad yang lalu.

Polis bertindak segera mengumumkan sekatan di lembah itu dan hanya ahli keluarga dan jiran terdekat sahaja dibenarkan untuk melakukan solat jenazah, bertentangan dengan hasrat Geelani yang ingin dikebumikan di Makam Syahid - perkuburan terbesar di ibu kota Kashmir.

Jurucakap Geelani di Twitter mengatakan pihak berkuasa telah menyiapkan kubur di dalam sebuah masjid berhampiran kediaman Geelani di kawasan Hyderpora.

Ketua Polis Kashmir, Vijay Kumar memberitahu wartawan di Srinagar bahawa sekatan telah dikenakan di wilayah itu.

"Hanya keluarga dan saudara terdekat akan dibenarkan ikut serta dalam solat jenazahnya," katanya dipetik Agensi Anadolu.

Kematian Geelani dilihat sebagai kehilangan besar terhadap perjuangan anti-India di Kashmir ketika beliau memimpin beberapa pemberontakan awam sejak awal 2000 setelah satu dekad mengetuai pemberontakan bersenjata yang sengit.

Pemimpin veteran Kashmir itu memulakan karier politiknya dari Jamaat-e-Islami Jammu dan Kashmir, kemudiannya beliau menyertai All Parties Hurriyat Conference - sekumpulan parti pro-kebebasan di Kashmir yang ditadbir India yang menuntut hak untuk menentukan kedaulatan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Kemudian pada tahun 2004, beliau melancarkan gerakan-Hurriyat (Gerakan untuk Kebebasan) bersama Muhammad Ashraf Sehrai yang meninggal dalam tahanan pada Mei lepas. - Bernama