UMNO Temerloh bantu mangsa banjir di utara semenanjung

Misi bantuan ke utara Semenanjung oleh UMNO Bahagian Temerloh yang disertai Mohd Sharkar (tengah)
Misi bantuan ke utara Semenanjung oleh UMNO Bahagian Temerloh yang disertai Mohd Sharkar (tengah)
A
A
A

TEMERLOH - UMNO Bahagian Temerloh membawa semangat Keluarga Malaysia dalam misi bantuan ke utara Semenanjung berikutan beberapa lokasi di negeri terbabit dilanda banjir baru-baru ini.

Ketua UMNO BahagianTemerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin memberitahu, misi terbabit membabitkan lima kawasan iaitu di Gunung Jerai, Merbok (Kedah), Nibong Tebal dan Balik Pulau (Pulau Pinang) serta Parit Buntar (Perak).

Menurutnya, misi bantuan tersebut selama tiga hari bermula Sabtu lepas itu sebagai membalas jasa pelbagai pihak yang sebelum ini banyak membantu mangsa-mangsa banjir di Temerloh pada awal tahun ini.

"Kini giliran kami menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terlibat dengan bencana banjir kilat ini sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia, membantu tanpa mengira pihak yang memerlukan.

"Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang dipikul oleh mangsa selain berharap mereka bersabar dengan dugaan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu juga memberitahu, selain barangan keperluan, ia turut membabitkan bantuan kewangan kepada mangsa terlibat.

Selain Mohd Sharkar, turut serta dalam misi tersebut, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Nor Azmi Mat Ludin yang juga ADUN Kuala Semantan serta Ketua Wanita bahagian, Datuk Juhanis Abd Aziz dan Ketua Puteri bahagian, Nurul Aslina Saman.

"Semua yang terlibat dalam misi itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain telah menerima dua dos vaksin masing-masing," tambahnya.

Artikel Berkaitan: