Projek Smart Street Pole ganti Penang Free WiFi

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mengeluarkan tawaran Permohonan Cadangan (RFP) untuk Projek Smart Street Pole hujung tahun ini sebagai pengganti kepada perkhidmatan Wi-Fi percuma di negeri ini atau Penang Free WiFi (PFW).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek itu masih berada di peringkat awam dan kerajaan negeri pada masa ini sedang meneliti garis panduan projek berkenaan dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat sebelum RFP projek itu dapat dikeluarkan.

Menurutnya, PFW telah menerima banyak aduan awam mengenai kelajuan internet dan kos yang dibayar juga tidak setimpal dengan kualiti perkhidmatan merupakan antara sebab projek itu dihentikan.

"Kami juga telah dua kali membuat RFP untuk projek PFW namun tidak mendapat bidaan yang menggalakkan dan kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menghentikan projek tersebut. Projek tiang pintar ini akan menggantikan PFW...ia boleh dipasang bersama dengan kamera litar tertutup (CCTV), lampu jalan dan sebagai tiang komunikasi untuk perkhidmatan Wi-Fi," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) yang ingin mengetahui perkembangan projek Penang Free Wifi dan apakah kemudahan jaringan Internet yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk pelajar yang membuat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pekerja yang bekerja dari rumah.

Zairil berkata, beberapa syarikat telekomunikasi yang berminat telah melakukan percubaan dengan membina tiang pintar ini di beberapa kawasan strategik.

Menurut beliau, akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, projek tiang pintar ini telah mengalami kelewatan dari segi pelaksanaan di Pulau Pinang.

Katanya, sebagai permulaan, RFP projek ini akan dilakukan di semua daerah melalui Majlis Bandaraya masing-masing bagi mempelawa syarikat-syarikat telekomunikasi yang berminat untuk membida projek ini.

Artikel Berkaitan:

"Tiang pintar ini akan dibina di kawasan awam seperti pasar awam, sekolah dan hospital dengan menawarkan perkhidmatan Wi-Fi percuma kepada penduduk sekitar," katanya.

PFW dilancarkan pada 2009 oleh kerajaan negeri dengan jumlah access point sebanyak 1,560 di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri, namun akibat pelbagai aduan telah diterima oleh pengguna, ia telah dihentikan pada 2019. -Bernama