Harga kit ujian kendiri Covid-19 dikawal mulai Ahad ini

Harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad ini menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. - Foto Bernama
Harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad ini menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad ini menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu kenyataan bersama berkata, kit berkenaan akan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

“Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan. Ia bagi memastikan harga berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga,” kata mereka menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut mereka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit berkenaan berdasarkan maklumat harga daripada tiga punca.

Beliau berkata, punca pertama ialah pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

“Kedua, maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ketiga ialah perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut,” kata mereka.

Kedua-dua menteri itu turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kata mereka, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti di bawah kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

"Bagi individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” kata mereka.

Tambah mereka, kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga berkenaan.

“Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan,” kata mereka.

Aduan-aduan boleh dikemukakan menerusi portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, call centre 1800 886 800, emel e-aduan.kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, enforcement command centre (ECC) 03-88826245/6088 atau WhatsApp ke 019-2794317.