X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Hujan tanpa henti, 60 kampung di Sabah terjejas banjir

Sebanyak 60 kampung di dua daerah negeri ini meliputi 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, terjejas banjir apabila hujan tanpa henti lebih 48 jam, sejak lewat petang Selasa. Gambar hiasan
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 60 kampung di dua daerah negeri ini meliputi 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, terjejas banjir apabila hujan tanpa henti lebih 48 jam, sejak lewat petang Selasa.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Beaufort dalam kenyataan memberitahu setakat ini tiada mangsa banjir dipindahkan, bagaimanapun sebuah pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Dewan DSP Mohd Dun Banir sebagai langkah persediaan.

Katanya, antara kampung yang terjejas di Beaufort ialah Binunuk, Balibata, Simpang Empat, Bakalau, Sungkadan, Melalugus, Batandok Lubak, Melati dan Lumatai, manakala antara kampung terjejas di Membakut ialah Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Baitam Ulu, Baitam Laut dan Baitam Baru.

"Hujan lebat berterusan di Beaufort dan Tenom menyebabkan kenaikan paras air Sungai Padas di dua daerah tersebut dan hujan yang turun pada petang semalam, terutama di kawasan Ulu Membakut menyebabkan kenaikan paras air di Sungai Membakut.

"Dua pintu Empangan Hidro Pangi terpaksa dibuka bagi mengurangkan kuantiti air di empangan itu menyebabkan peningkatan air Sungai Padas ke paras bahaya dan dengan peningkatan itu Pusat Kawalan Operasi Bencana telah diaktifkan semalam," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Sebanyak 59 jalan di daerah tersebut turut terjejas antaranya Jalan Kampung Binunuk, Jalan Pekan Lama Membakut, Jalan Kampung Baitam Baru, Jalan Kampung Suasa dan Jalan Kampung Kangsa.

Sementara itu, 11 sekolah turut terjejas termasuk tiga sekolah di daerah Membakut iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Bambangan, Sekolah Kebangsaan Sinoko dan Sekolah Kebangsaan Pekan Membakut. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!