Tumpu gerak kerja tangani Covid-19, pulih ekonomi negara

Barisan kepimpinan negara yang baharu dilantik perlu tumpukan perhatian sepenuhnya dalam gerak kerja tangani isu Covid-19 serta berusaha pulihkan ekonomi negara. Gambar kecil: Jaziri Alkaf
Barisan kepimpinan negara yang baharu dilantik perlu tumpukan perhatian sepenuhnya dalam gerak kerja tangani isu Covid-19 serta berusaha pulihkan ekonomi negara. Gambar kecil: Jaziri Alkaf
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan kepimpinan negara yang baharu dilantik diminta menumpukan perhatian sepenuhnya dalam gerak kerja menangani isu Covid-19 serta berusaha memulihkan ekonomi negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, barisan kabinet yang diberi kepercayaan perlu mempamerkan prestasi terbaik terutama dalam mencapai sasaran 100 hari perkhidmatan seperti yang diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 perlu diatasi segera bagi membolehkan rakyat kembali menjalankan aktiviti sosial seperti biasa, selain pihak kerajaan memperkasakan ekonomi negara dengan penuh integriti dan secara musyawarah sesuai dengan aspirasi 'Keluarga Malaysia'.

"Saya melihat konsep 'Keluarga Malaysia' ini sangat bersesuaian dengan ketetapan politik ketika ini yang tidak lagi bergantung kepada satu-satu parti atau gabungan politik lama dalam mentadbir negara.

"Malah ia berusaha sepenuhnya mencari titik penyelesaian agar proses pemulihan negara dapat berjalan lancar dan inklusif.

"Ia juga dilihat seiring dengan tema Hari Kebangsaan 2021- Malaysia Prihatin, maka amalan politik khidmat kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik adalah perlu dilaksanakan segera supaya rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 dapat dibantu dan diberi jalan keluar dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semua barisan kepimpinan sedia ada hendaklah mengetepikan segala perbezaan dan perseteruan, seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat.

Jelasnya, pendirian tersebut senada dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg yang mahu kerajaan baharu ini dapat meneruskan kesinambungan harapan rakyat Sarawak mahukan hak aspirasi mereka dapat dipenuhi serta diperkasakan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, impian rakyat Sarawak pastinya mahu hak mereka dalam berkongsi hasil negeri tanpa mengabaikan keperluan bersama seluruh rakyat Malaysia demi pembangunan bersama.

Tegasnya, menjadi keperluan supaya hak dan keistimewaan rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Malaysia dapat dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan baharu ini.

"Sudah sampai masanya konsep federalisme yang telah dilaksanakan di beberapa negara dapat dilaksanakan, malah ia bukan lagi halangan untuk dijayakan ketika mana seluruh warga Malaysia dapat menikmati kemakmuran secara bersama bersesuaian dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

"Oleh itu besarlah harapan saya sebagai Pengerusi PN negeri supaya agenda dan perubahan yang telah dibawakan kerajaan sebelum ini dapat diteruskan sebaiknya, malah terus diperkasakan demi kemakmuran rakyat Malaysia secara bersama," katanya.