X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Keputusan Melaka masuk Fasa 2 PPN hari ini: Ketua Menteri

Keputusan untuk Melaka beralih ke Fasa Dua PPN akan diputuskan menerusi Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini. Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Kira-kira 58.11 peratus rakyat di Melaka telah lengkap dua dos vaksin, sekali gus membuka peluang kepada negeri berkenaan untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini Laporan Vaksinasi Harian Negeri Melaka pada Isnin lepas, bilangan populasi dewasa di negeri berkenaan yang telah menerima vaksinasi lengkap dua dos adalah seramai 393,607 orang daripada keseluruhan 677,400 orang yang layak.

"Keputusan untuk beralih ke Fasa Dua PPN akan diputuskan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini,” katanya pada segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka.fm di sini pada Khamis.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini menetapkan nilai ambang baharu bagi peralihan fasa di bawah PPN untuk negeri dalam fasa satu yang telah mencapai kadar vaksinasi, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Dalam pada itu, Sulaiman menjelaskan, Melaka mengalami kekurangan bekalan vaksin pada bulan lepas sekali gus menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 50 peratus vaksinasi lengkap dua dos lebih awal.

Melaka ujar beliau, sepatutnya menerima sebanyak 78,000 dos vaksin namun bekalan yang diterima adalah sebanyak 52,000, sekali gus merencatkan program vaksinasi di negeri berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang giat mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan peniaga menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) serta kerjasama swasta bersama pihak berkuasa tempatan (PBT). -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!