X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Raja Muda Perlis nasihat rakyat waspada taktik sindiket penipuan

Tuanku Syed Faizuddin
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah diperdaya sehingga menjadi mangsa sindiket penipuan.

Baginda bertitah, antara sindiket penipuan yang aktif adalah seperti penipuan pelaburan tidak wujud, penyamaran menerusi panggilan telefon, penipuan pembelian secara dalam talian, penipuan tawaran kerja dan penipuan pinjaman.

“Mereka (sindiket penipuan) menggunakan nama-nama individu berpengaruh dalam masyarakat dan menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa bagi menipu mangsa,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Khamis.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew memberitahu, jumlah kes penipuan melibatkan pembelian barang dan perkhidmatan dalam talian semakin meningkat sejak kebelakangan ini, iaitu dalam tempoh pandemik Covid-19.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sindiket seumpama ini.

Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan sagu hati kepada 38 bekas amil zakat MAIPs, semalam.

Sumbangan itu disampaikan secara simbolik kepada wakil mereka iaitu bekas amil Razali Ismail yang berkhidmat selama tujuh tahun untuk kariah Masjid Al-Barakah Kampung Jelempok, Arau di rumah beliau yang terletak tidak jauh dari masjid berkenaan.

Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!