Pernas sediakan ekosistem francais kondusif

A
A
A

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyediakan ekosistem keusahawanan yang kondusif dengan menawarkan produk dan perkhidmatan bersesuaian kepada semua golongan usahawan.

Penyediaan ekosistem francais yang kondusif ini merupakan salah satu daripada transformasi bersepadu yang dilaksanakan Pernas selari dengan mandat yang diberikan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, peranan Pernas bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan francais, malah turut membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, produk-produk yang ditawarkan oleh Pernas adalah menyeluruh dan merangkumi keperluan para francaisor dan francaisi. Antara produk yang ditawarkan ialah Skim Pembiayaan Francais, Pra-Francais dan Mikro serta pengurusan hartanah dan pembiayaan ekuiti.

“Selain daripada itu, Pernas turut menyediakan khidmat nasihat, latihan dan konsultasi kepada usahawan dan bakalbakal usahawan francais dan pra-francais melalui Franchise Institute yang meliputi pelbagai bidang keusahawanan dan perniagaan tidak hanya terhad kepada francais,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, ekosistem francais yang kondusif itu juga disokong oleh platform e-dagang iaitu Pybli yang disediakan oleh Pernas dengan tujuan untuk membantu usahawan khususnya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk mereka secara digital.

“Dengan inisiatif ini, usahawan bukan sahaja tidak perlu melabur kos yang tinggi untuk membangunkan platform e-dagangnya sendiri, malah mengurangkan kos operasi melibatkan kedai, pekerja, bil dan lain-lain selain dapat membantu pembeli dan penjual membuat transaksi dengan mudah dan cepat. Ketika ini, seramai 343 usahawan telah menggunakan platform Pybli,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pernas dan MEDAC turut menawarkan program Jom Ubah Minda Peniaga (JUMP) kepada usahawan dengan tujuan memberi pendedahan dan latihan digital bagi membantu mengurangkan kos operasi, memperoleh sasaran pelanggan baru serta mengoptimumkan sumber PKS.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Hilaluddin, keusahawanan francais turut meliputi sektor PKS yang merupakan salah satu sektor utama menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun lepas, PKS telah menyumbang sebanyak 38.2 peratus iaitu RM512.8 bilion daripada jumlah keseluruhan KDNK berjumlah RM1,343.9 bilion.

“Pernas juga melancarkan Program Business In Transformation (BIT) sejak 2013 dan sebanyak 142 syarikat PKS dalam pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan telah mendaftar di bawah program itu.

“Melalui inisiatif ini, Pernas menjadi salah sebuah agensi yang membantu hasrat MEDAC untuk melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan usahawan PKS. Inisiatif ini juga dapat melahirkan jenama-jenama francais baharu” ujarnya.

Beliau berkata, Pernas berhasrat mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam bidang francais melalui pelan lima tahun.

“Ini selari dengan objektif utama Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 bagi meningkatkan penyertaan orang ramai dalam bidang keusahawanan dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Pernas melancarkan dua projek terbaharu awal tahun ini iaitu ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ dan ‘Xcelerator’,” katanya.

Beliau berkata, BYOB menawarkan dua program iaitu ‘Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)’ untuk wanita dan ‘Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)’ untuk golongan belia.

“Sejak program ini diperkenalkan, lebih daripada 578 peserta telah mendaftar sebagai peserta BYOB. Daripada jumlah ini, seramai 215 peserta telah menamatkan latihan dan 224 peserta lagi sedang dalam proses pemadanan perniagaan.

“Melalui projek Xcelerator pula, Pernas giat membantu usahawan sedia ada untuk memacu perniagaan mereka ke arah francais dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Hilaluddin berkata, memandangkan negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, Pernas juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan skim pembiayaan seperti program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan.

Jelasnya, hampir RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk tujuan tersebut yang memberi manfaat kepada lebih 350 usahawan francais Pernas sedia ada.

“Pernas turut menawarkan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama enam bulan bermula Jun lepas sehingga November 2021 selain penjadualan semula pinjaman bagi semua pembiayaan selepas berakhir tempoh moratorium.

“Kami menawarkan bantuan ini kepada peminjam yang mempunyai rekod bayaran yang baik iaitu tunggakan tidak melebihi enam bulan. Pada tahun ini sahaja, permohonan moratorium yang diluluskan kepada seramai 337 usahawan,” kata Mohd Hilaluddin.

PERANAN PERNAS

Melahirkan lebih ramai usahawan francais termasuk francaisor dan francaisi.

Membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa dengan membantu mereka memperkukuhkan perniagaan melalui bimbingan, padanan perniagaan dan pembiayaan.

Mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai francais melalui program-program promosi francais.

PRODUK DAN PERKHIDMATAN PERNAS:

Pembiayaan Francais

Pembangunan Francais

Latihan Francais

Pelaburan Francais

Pelaburan Ekuiti

Pelaburan Hartanah