Restoran di Sabah dibenarkan letak kerusi, meja di luar premis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah memutuskan untuk memberi kebenaran kepada restoran meletakkan kerusi dan meja di ruang legar atau kaki lima di premis masing-masing mulai Khamis, setelah negeri itu mencapai nilai vaksinasi lengkap melebihi 40 peratus populasi dewasa pada Selasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga juga jurucakap Covid-19 negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, bagaimanapun pemilik restoran masih perlu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

"Syarat-syaratnya termasuk pemilik premis telah menyewa tapak berkenaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selain tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sementara itu beliau berkata, satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Sawit Kinabatangan 2 yang merupakan kluster tempat kerja di ladang sawit Mukim Sukau, Kinabatangan melibatkan 124 kes positif sehingga hari ini.

"Kes indeks merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 19 tahun yang mula bergejala sejak 18 Ogos sebelum disahkan positif Cvid-19 dan dirujuk ke Hospital Kinabatangan pada 23 Ogos untuk rawatan lanjut," katanya.

Masidi berkata, 2,430 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 150,273 kes, 2,415 pesakit sembuh menjadikan kumulatif 117,344 orang, manakala 4,885 orang masih menerima rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: