Liek Hou bermula garang

Liek Hou membalas hantaran Eldakrory pada pusingan pertama peringkat kumpulan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium National Yoyogi. - Foto Bernama
Liek Hou membalas hantaran Eldakrory pada pusingan pertama peringkat kumpulan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium National Yoyogi. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA dunia badminton para enam kali Cheah Liek Hou, memulakan cabarannya di Sukan Paralimpik Tokyo dengan penuh bergaya di sini pada Rabu.

Pemain nombor dua dunia itu Liek Hou, hanya memerlukan 15 minit bagi mengetepikan cabaran pemain Mesir Eldakrory Ahmed Magdy Amin, 21-3, 21-2, pada perlawanan Kumpulan B perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), yang berlangsung di Stadium National Yoyogi.

Liek Hou yang merupakan salah seorang prospek pemenang pingat Malaysia, akan berhadapan Jen Yu Fang dari Taiwan, esok.

Pemain berusia 33 tahun itu berpeluang untuk mencatatkan diri sebagai pemain badminton pertama memenangi pingat Paralimpik, yang pertama kalinya dipertandingkan di Tokyo kali ini.

Liek Hou mampu untuk mencapai kejayaan terbaik di Tokyo jika beliau dapat mengekalkan prestasi baiknya ketika beliau menjuarai dua kejohanan badminton di Sepanyol pada Mei dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada April.

Seorang lagi pemain Malaysia Didin Taresoh yang juga membuat penampilan pertama dalam acara perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal), apabila dijadualkan untuk beraksi dalam dua perlawanan, esok.

Didin akan bertemu pemain India Krishna Nagar dan kemudiannya Vitor Gonzales Tavares dari Brazil dalam perlawanan Kumpulan B. - Bernama

Artikel Berkaitan: