Wei Lun kembali ceriakan kontinjen Malaysia

Wei Lun bersama pingat perak dimenangi pada perlawanan akhir kategori Individu campuran (BC1) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Gimnastik Ariake pada Rabu. Foto: Bernama
Wei Lun bersama pingat perak dimenangi pada perlawanan akhir kategori Individu campuran (BC1) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Gimnastik Ariake pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

PENCAPAIAN mengejutkan atlet boccia negara Chew Wei Lun, yang membutirkan perak setidak-tidaknya menceriakan kembali kontinjen Malaysia, pada hari kelapan Sukan Paralimpik Tokyo di sini selepas menempuh hari penuh suram, semalam.

Penampilan pertama pemain ke-11 dunia di pentas Paralimpik yang bersaing dalam acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal), ternyata mengagumkan walaupun tewas dalam aksi final kepada juara bertahan dari Great Britain, David Smith, 2-4 di Ariake Gymnastics Centre.

Atlet berusia 26 tahun dari Johor itu juga, gah dengan mencatat rekod bersih tanpa kalah sebanyak enam perlawanan termasuk empat di peringkat kumpulan B, sebelum disekat kemaraannya oleh David hari ini pada perlawanan akhir.

Katanya, pencapaian itu amat bermakna kerana beliau dan pasukannya berjaya memperkenalkan boccia kepada rakyat Malaysia, untuk mengenali sukan itu dengan lebih dekat.

Wei Lun membantu Malaysia menambah koleksi pingat perak kepada dua, selepas atlet powerlifting Jong Yee Khie merangkul perak pertama dalam kategori lelaki 107kg Isnin lalu, manakala Bonnie Bunyau Gustin, yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pula menghadiahkan emas pertama Sabtu lepas.

Kejayaan Wei Lun pastinya mengubat kekecewaan jutaan rakyat Malaysia yang hampa, selepas jaguh olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli, dinafikan sebagai pemenang emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu semalam.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) atau tidak memulakan saingan, susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu, lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval, diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m, yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Artikel Berkaitan:

Selain Muhammad Ziyad, atlet Australia Todd Hodgets dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador, turut diklasifikasikan DNS.

Kontinjen Malaysia bersama Australia dan Ecuador, yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan telah melancarkan protes sejurus keputusan akhir dikeluarkan, kepada pihak jawatankuasa teknikal pertandingan.

Namun, Olahraga Para Dunia (WPA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, telah menolak rayuan Malaysia dan juga Australia serta Ecuador berhubung keputusan acara itu.

Keputusan itu berdasarkan Peraturan 5.5 Atlet Para Dunia - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual Bilik Menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Dalam pada itu, perenang kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yang menutup kempen sulungnya di Sukan Paralimpik, menyifatkan renangannya dalam acara akhir 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) sebagai yang terbaik sepanjang kariernya.

Walaupun tidak berjaya menyumbang pingat, Nur Syaiful yang menamatkan saingan di tangga kelima tetap berpuas hati dapat melebur rekod peribadinya sebelum ini, iaitu 33.20 saat (s) di sebuah kejohanan di London pada 2019, dengan catatan baharu, 32.82s.

Hari pertama badminton di Yoyogi National Stadium pula menyaksikan juara dunia enam kali, Cheah Liek Hou beraksi cemerlang apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Egypt, Eldakrory Ahmed Magdy Amin.

Pemain nombor dua dunia itu hanya mengambil masa 15 minit untuk mengenepikan Eldakrory, 21-3, 21-2 dalam aksi kumpulan B, kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Atlet berusia 33 tahun itu akan meneruskan cabarannya menentang pemain dari Taiwan Jen Yu Fang, esok. _Bernama