Nur Syaiful akhirnya jelma renangan terbaik

Nur Syaiful
Nur Syaiful
A
A
A

“INI renangan terbaik sepanjang karier saya,” demikian reaksi perenang kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, selepas mengakhiri kempen sulungnya di Sukan Paralimpik dengan mempamerkan kuakan bergaya dalam acara akhir 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal).

Walaupun tidak berjaya menyumbang pingat, Nur Syaiful yang menamatkan saingan di tangga kelima, tetap berpuas hati dapat melebur rekod peribadinya sebelum ini iaitu 33.20 saat (s) yang dicatatkannya di sebuah kejohanan di London pada 2019, dengan catatan baharu, 32.82s.

“Alhamdulillah saya puas hati walaupun tiada rezeki untuk sumbang pingat. Saya akan cuba buat lebih baik di Paris 2024 nanti,” katanya kepada Bernama.

Mengenai perancangan seterusnya, perenang kelahiran Sarawak berusia 26 tahun itu memaklumkan akan berehat sehingga bulan November, sebelum menyertai semula kem latihan pada bulan berikutnya.

Katanya, beliau akan fokus untuk memenangi saingan atau meraih pingat khususnya bagi Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China serta kejohanan dunia tahun depan.

Nur Syaiful yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, muncul perenang kelima terbaik daripada 16 peserta secara keseluruhan dalam dua saringan dijalankan pagi Rabu.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan mara ke akhir.

Perenang China menyapu bersih kesemua pingat ditawarkan dalam acara itu, selepas Tao Zheng muncul juara dengan catata masa 30.31s yang juga rekod baharu Paralimpik, manakala perak milik Weiyi Yuan (31.11s) dan gangsa, Lichao Wang (31.35s).

Artikel Berkaitan:

Khamis lepas, Nur Syaiful juga berjaya memperbaiki rekod peribadi selepas bertanding dalam acara akhir dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5.

Beliau yang menduduki tangga ketujuh pada aksi final mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Bagaimanapun, kempen Nur Syaiful turut dicemari dengan insiden pembatalannya dalam dua acara lain iaitu, 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) dan 200m gaya bebas lelaki S5, kedua-duanya di peringkat saringan, gara-gara kesilapan teknikal dilakukannya. - Bernama