X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Hishammuddin ucap takziah kepada keluarga anggota tentera lemas

Hishammuddin (kiri) dan Ikhmal Hisham (dua dari kanan) memulakan tugas di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang ditemui lemas pada pagi Rabu.

Mayat anggota tentera 10 Briged (Para) itu ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 8.15 pagi di Kampung Serengkam, Maran iaitu kira-kira 70 kilometer dari tempat kejadian, iaitu di Kampung Bohor Baru.

Beliau yang turut bersedih dengan kehilangan anggota tentera itu mengharapkan keluarga arwah terus tabah dengan dugaan yang menimpa.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini menzahirkan ucapan takziah buat isteri dan keluarga arwah. Insya- ALLAH kita akan bantu keluarga mangsa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang turut sama membantu dalam misi pencarian,” katanya pada sidang akhbar sempena memulakan tugas Menteri Kanan Pertahanan yang baharu di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera dikhuatiri lemas ketika latihan

Mayat anggota tentera lemas ketika latihan ditemui

'Dua kali cuba diselamatkan'

Hadir sama, timbalannya, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Lans Koperal Mohamad Azrin yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para), lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang Ahad, mangsa bersama anggota lain sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Bagaimanapun, mangsa dilihat tenggelam di tebing oleh ahli pasukan dan cuba ditarik naik namun gagal. Mangsa telah berjaya naik ke permukaan air tetapi dilihat tenggelam semula.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!