KKR fokus tingkat rakyat, agenda pulih ekonomi industri pembinaan

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan dan melaksanakan agenda pemulihan ekonomi bagi industri pembinaan serta memberi fokus kepada peningkatan infra rakyat dari segi jaringan keterhubungan, keselesaan dan keselamatan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, tumpuan akan terus diberikan kepada projek seperti Pan Borneo Sarawak dan Pan Borneo Sabah serta Central Spine Road (CSR), selain projek-projek jalan lain yang berada di bawah bidang kuasanya.

“KKR komited dalam melaksanakan agenda pemulihan ekonomi bagi industri pembinaan dengan bekerja bersama rakyat, seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan pembentukan kabinet Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Perdana Menteri dalam mesyuarat kabinet hari ini telah mengarahkan semua kementerian supaya menetapkan sasaran dan program yang hendak dilaksanakan, dalam tempoh dua minggu.

Jelas beliau, ia meliputi sasaran jangka pendek dan jangka panjang berorientasikan pencapaian keberhasilan, bagi membuktikan pencapaian awal 100 hari pertama seperti ditetapkan.

Susulan itu, Fadillah menjelaskan, beliau telah meminta pengurusan KKR supaya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) dalam memudah cara serta memastikan pelaksanaan semua projek dapat disegerakan demi memulihkan ekonomi negara secepat mungkin.

“Semua peringkat dalam KKR dan agensinya perlu peka dengan keperluan semasa dalam bekerja bersama rakyat,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: